Posted by: mppm.jo | October 1, 2008

Salam Aidilfitri



Saya mewakili seluruh saf kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada para pegawai, mahasiswa mahasiswi dan seluruh warga Malaysia yang berada di Jordan. Semoga aidilfitri yang dirai pada tahun ini disambut dengan penuh rasa kemenangan dan kegembiraan.

Di kesempatan ini, Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan (MPPM) ingin menjemput seluruh warga MPPM untuk menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Jabatan Penuntut Malaysia Jordan (JPMJ) di Amman pada hari raya kedua. Banyak juadah aidilfitri disediakan. Semoga majlis ini sedikit sebanyak dapat mengubat rindu kita kepada suasana raya di Malaysia.

Selamat Hari Raya,

Maaf Zahir & Batin.

Dzulqarnain Ahmad Iskandar Shah

Presiden,

Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan (MPPM),

Sesi 2008/2009.

Posted by: mppm.jo | September 28, 2008

Misi Ukhuwah se Jordan

Ketika sesi muhasabah mesyuarat agung tahunan MPPM lepas, mantan timbalan presiden, Ust. Mohammad bin Mohsen telah membangkitkan beberapa faktor yang membantutkan perkembangan MPPM dari sudut program iaitu kesukaran untuk menghimpunkan seluruh mahasiswa se Jordan. Ini disebabkan masalah taqwim yang tidak seragam antara universiti di Jordan, di tambah pula jarak antara mantiqah yang jauh.

Sebenarnya faktor ini bukan sahaja melemahkan program MPPM, bahkan turut menjejaskan ukhuwah mahasiswa di semua mantiqah. Satu perkara yang merungsingkan saya ialah semangat keta’suban mantiqah semakin subur. Hal ini jelas ketika penganjuran KARISMA kali pertama di Irbid baru-baru ini. Niat baik penganjur melarang penyertaan berbentuk kenegerian membawa kepada masalah baru iaitu bibit-bibit asobiyah mantiqah. Alam blogger dijadikan medan menghentam sesama mantiqah sehinggakan mendapat perhatian oleh pengarah MSD sendiri. Keadaan yang sama juga dibangkitkan dalam mesyuarat agung MPPM, apabila ada ahli yang hadir meluahkan kekecewaan bahawa MPPM akan didominasi oleh sesebuah mantiqah.

Saya turut mendapatkan komen daripada mantan AMT MPPM sesi 2006, beliau menyatakan perubahan drastik dalam perlembagaan MPPM sesi lepas menjadi faktor kepada masalah ini.  Mungkin jawapan yang diberikan oleh MPPM sesi lepas untuk merelevankan MPPM kepada seluruh mahasiswa Jordan perlu diteliti. Namun, untuk mengubahnya kembali kepada asal bukanlah langkah yang bijak. Satu kajian kearah penambahbaikan dan pemulihan perlu diadakan secepat mungkin.

Walaubagaimanpun, bukan tanggungjawab sepenuhnya MPPM dalam mengatasi masalah ini. Ukhuwah sebenarnya terbina atas kesedaran dan kesungguhan ahli setiap mantiqah. Saya teringat kisah salah seorang mahasiswa senior. Beliau menceritakan bagaimana suatu ketika dahulu, ukhuwah antara mahasiswa berlainan mantiqah begitu teguh. Sebagai contoh, program-program Badan Kebajikan Anak Negeri ( BKAN) yang diadakan sesebuah mantiqah dihadiri oleh semua ahli walaupun terpaksa membayar tambang sendiri. Lebih menarik lagi, ada BKAN yang mempunyai kewangan yang kukuh sanggup memberi kerjasama terhadap BKAN yang menghadapi masalah kewangan. Jika sudah 4 BKAN utama yang menganjur sesuatu program, di situ hampir 60% mahasiswa seluruh Jordan berkumpul ditambah pula dengan peranan persatuan zon ( PZ ) yang menjadi tuan rumah turut mendapat manfaat apabila diziarahi oleh ahli mantiqah luar.

Mungkin itu cerita lama, namun mengapakah nostalgia tersebut tidak diteruskan kalaulah itulah cara untuk menguatkan ukhuwah antara kita. Baik diperingkat ahli, presiden PZ, YDP BKAN dan pimpinan MPPM sendiri, kita semua mesti membawa misi ukhuwah ini seluruh Jordan. Misi inilah yang menentukan MPPM releven di mata ahli dan seterusnya misi yang lebih besar iaitu mengantarabangsakannya.

Muhammad Shahrul Ifwat Bin Ishak

Timbalan Presiden,

Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia ( MPPM )

sesi 2008/2009

Posted by: mppm.jo | September 21, 2008

Minggu Haluan Siswa 2008

Kesyukuran dan kenikmatan dirafa’kan ke hadrat Allah di atas segala limpah kurnia-Nya yang tidak terhitung banyaknya. Selawat dan salam buat junjungan Mulia, Nabi Muhamad S.A.W, para sahabat, tabi’in, auliya’ dan para syuhada’.

Pertama sekali, tidak terlambat rasanya untuk saya ucapkan ahlan wasahlan wamarhaban bikum kepada semua mahasiswa mahasiswi yang baru menjejakkan kaki untuk menuntut ilmu di bumi anbiya’, bumi Jordan ini.

Fiman Allah swt dalam surah hujurat, ayat 10:

﴿ إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

10. sebenarnya orang-orang Yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.

Sesungguhnya, sejarah Rasulullah dan para sahabat menunjukkan contoh yang terbaik untuk teladan kita semua. Kehadiran golongan muhajirin Mekah ke Madinah disambut baik oleh golongan Ansar. Ukhuwah yang disatukan atas dasar iman inilah yang akhirnya membuahkan kejayaan dan prestasi membanggakan sehingga umat Islam berjaya menguasai negara Madinah mengatasi kaum lain yang ada.

Justeru kita sebagai penuntut di dataran syam ini seharusnya mengambil iktibar dengan peristiwa terutamanya kesan tinggalan sahabat yang ada di sekeliling kita. Semailah ukhuwah sesama kita atas dasar iman yang satu tanpa mengira asal negeri, sekolah dan sebagainya. Semoga dengan persaudaraan dan kesatuan yang dibina, membuahkan hasil yang baik untuk kita semua sama ada di dunia ataupun disimpan untuk kebaikan kita di akhirat kelak.

Kepada mahasiswa mahasiswi yang baru tiba di Jordan. Tetapkan matlamat, tuluskan niat. Minggu Haluan Siswa (MHS) diadakan bertujuan membantu dan membimbing anda semua ke arah matlamat tersebut. Semoga dimudahkan segala usaha kita semua ke arah matlamat yang ingin dicapai itu.

Seterusnya, tibalah masa kita membuktikan ketulusan niat kita dengan menterjemahkannya di dalam kehidupan harian kita selepas ini. Sekiranya dataran syam ini pernah menjadi saksi kehebatan para sahabat di dalam medan tempur, tempat ini jugalah yang akan menjadi saksi kesungguhan  dan pengorbanan kita semua dalam menuntut ilmu Allah yang luas ini.

Akhir kalam dari saya, semoga MHS yang diadakan ini dimanfaatkan secara optima bagi mencapai objektif yang telah ditetapkan. Saya mewakili Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan mengucapkan jutaan terima kasih kepada AJK Pelaksana dan semua yang terlibat dalam menjayakan program ini. Moga usaha ini bernilai di sisi Allah Ta’ala dan membuahkan ganjaran yang terbaik di akhirat yang kekal abadi, InsyaAllah.

Dzulqarnain Bin Ahmad Iskandar Shah

Presiden,

Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan (MPPM),

Sesi 2008/2009.

Posted by: mppm.jo | September 17, 2008

Ramadhan Kareem

Posted by: mppm.jo | August 13, 2008

Mangsa Persatuan

Oleh : Muhammad Shahrul Ifwat bin Ishak*

“sepanjang ana jadi ALT, 3 subjek ana rasib”
“anta dah jadi mangsa akhowat ”
“tu la, aktif sangat sampai tak tidur malam”

Konsep persatuan mengikut kertas sangat menguntungkan seseorang. Kemahiran insaniah, pengalaman, kepimpinan, berinteraksi dengan orang lain. Namun itu semua berdasarkan kertas kerja MBO dan pendapat mereka yang sangat mencintai persatuan, namun bagaimana pula dengan hakikat sebenar dan apa pula kata mereka yang anti persatuan?

Gadaikan Akademik?
Inilah teori popular di kalangan pelajar Mu’tah apabila ditanya mengapa tidak berminat dengan persatuan. Teori itu semakin terbukti benar apabila dipraktikan pula oleh sebilangan orang dalam persatuan sendiri. Mana tidaknya, siang hari sibuk dengan urusan belajar, malam mesyuarat sampai larut, kemudian menerima dan membuat panggilan mengalahkan wakil rakyat, dan keadaan semakin teruk apabila terbawa-bawa ke dalam kelas. Jika melibatkan pihak atasan terpaksa ponteng kelas namun diringankan atas istilah ‘urusan kerja’. Lebih parah lagi jikalau seseorang itu memegang terlampau banyak jawatan. PZ pun dia BKAN pun dia MPPM pun muka dia. Maka, dirinya akan diperhati oleh orang yang anti-persatuan untuk melengkapkan statistik mereka agar teori mangsa persatuan akan diiktiraf oleh pelajar lain.

Tiket Sosial.
Ini juga satu perkara yang menarik. Berpersatuan dianggap peluang untuk berkenal-kenalan dengan akhawat dalam suasana masyarakat di sini yang dikatakan ‘shadid’. Hanya orang persatuan sahaja yang boleh datang ke rumah akhawat atas alasan mesyuarat, untuk muraqib perempuan pun dia sebab lebih dikenali berbanding orang lain. Sedar tak sedar, cemburulah orang di luar persatuan. Mereka pun hendak berkenalan dengan kaum berlainan jantina namun agak terbatas disebabkan tiada urusan. Maka, urusan persatuan itulah yang dikatakan tiket untuk bersosial berlainan jantina.

Membazir atau menyumbang?
Ini pun antara teori yang menarik untuk menghentam persatuan dan ahlinya. Kisah ini bermula apabila orang yang berpersatuan ingin meminjam duit dari mereka yang anti- persatuan, namun terus dihentamnya. ” tu la kau, mak ayah bagi duit untuk belajar, nape guna untuk orang lain”. Mana tidaknya, hendak sediakan minit mesyuarat, surat jemputan, kertas kerja, tambang, makanan, kredit semuanya terpaksa didahulukan dengan duit sendiri. Bagi orang yang berjiwa persatuan ini, terasa tidak sanggup untuk menuntutnya daripada bendahari.

Kebaikan yang dibisukan.
Tidak dapat dipastikan samada mereka yang anti dengan persatuan itu apakah kehendak mereka. Samada secara peribadi ataupun memang satu kajian yang telah diadakan bersungguh-sungguh demi membuktikan persatuan itu membawa masalah. Ataupun mereka ingin mewujudkan sebuah persatuan alternatif mereka sendiri. Sekiranya dinilai, ada benar juga teori mereka walaupun ada yang tidak tepat. Namun, mengapakah kebaikan itu dibisukan dan mengapakah keburukan itu dilaung-laungkan, mengapa tidak ‘ditaslih’ kan sahaja kekurangan tersebut dengan penyertaan mereka? Akhirnya fahamlah saya, kita sebenarnya berhadapan dengan makhluk yang silap sekiranya ingin kebaikan kita disebut atau dihargai.

Terima kasih bagi yang memahami.
Namun, janganlah pula lupa dibelakang kita masih ramai lagi rakan-rakan yang memahami akan hakikat perjuangan ini. Masih ramai yang menghargai. Mereka sering berdiri teguh dan kadang-kadang melemparkan kritikan. Namun, kritikan tersebut lebih bermakna apabila mereka sendiri yang membaikinya agar kelihatan lebih cantik. Orang-orang sebeginilah yang amat diperlukan tidak kira di sini ataupun apabila pulang nanti. Tidak kiralah walaupun hanya sekadar AJK kecil ataupun sebesar-besar pemimpin kita bukan melakukan sesuatu yang sia-sia, namun untuk mendapatkan sesuatu, kadang-kadang kita terpaksa berkorban atau kita kehilangan sesuatu. Pimpinan akan silih berganti, dasar juga akan sentiasa berubah. cuma matlamat sahaja yang akan tetap centric. Ke Arah Permata Matang 2009…

*penulis adalah ketua biro akademik PERMATA sesi 2007/2008

Oleh : Muhammad Shahrul Ifwat bin Ishak

“Tsunami kebangkitan rakyat”-Harakahdaily
“Kekalahan teruk parti kerajaan sejak 1969”-Laporan Al-Jazeera.
“5 menteri dan 10 timbalan menteri tewas” -Utusan Malaysia.
“Pembangkang berjaya membentuk kerajaan campuran di 5 negeri”-Malaysiakini.

Pilihanraya kali ini benar-benar telah mengejutkan semua pihak. Dari ahli politik, penganalisis, ahli akademik, media, mahasiswa hinggalah rakyat awam. Tidak pernah wujud landskap politik seumpama ini di Malaysia samada pada era reformasi 1999, tidak juga sewaktu perpecahan Umno menjelang 1990 dan juga krisis perkauman era 1969. Para penganalisis politik tanah air di beberapa rangkaian TV tempatan yang telah memberikan ulasan selari kepada keputusan PRU 12 seolah-olah tercari-cari apakah sebab utama kekalahan teruk BN dalam pilihan raya umum kali ini. Sembang-sembang pilihan raya kali ini juga tidak terhad kepada keputusan bahkan semakin menarik dengan apa yang akan berlaku selepas ini, bagaimana kedudukan PM dan bagaimana nasib kerajaan campuran dibeberapa negeri dan landskap politik negara.

Anwar dan Mahathir.
Setiap kali pilihanraya, agak sukar pihak pembangkang meyakinkan rakyat dengan manifesto mereka. Barisan Nasional selalu mendapat laluan mudah dan dilihat sebagai gabungan parti komponen yang kuat berbanding pakatan pembangkang. Namun kali ini pembangkang mendapat bonus dengan penglibatan Anwar dan Mahathir secara tidak langsung. Ini diakui oleh pemimpin BN sendiri. Mahadhir yang telah meletak jawatan sering kali melemparkan kritikan terhadap tindakan Pak Lah yang dilihat sebagai tidak bijak dan lembab. Manakala Anwar pula dengan penuh yakin menabur janji-janji kesenangan kepada rakyat jika diberi peluang kepada Barisan Alternatif. Jika janji itu dari mulut pemimpin pembangkang yang lain tentunya dilihat sebelah mata oleh rakyat jelata dan akan diberi kenyataan sinis oleh pihak kerajaan, namun apabila Anwar yang mempunyai pengalaman sebagai Menteri Kewangan dan bekas Timbalan Perdana Menteri mendedahkan sumber kekayaan negara telah dapat meyakinkan rakyat dan menjadikan kerajaan tidak senang duduk. Mahathir pula dilihat oleh rakyat sebagai pemimpin yang tegas dan berani dalam mebuat keputusan berbanding kepimpinan Pak Lah.

Tuntutan Minoriti.
Akhirnya persempadanan semula kawasan pilihanraya pada tahun 2003 yang mana berlaku pertambahan kerusi bukan melayu membawa padah kepada BN. Jika pada tahun 1999, BN diselamatkan dengan undi masyarakat bukan melayu, kini fenomena itu sudah berubah. Parti komponen BN yang mewakili kaum Cina dan India dilihat sudah tidak popular lagi dikalangan kedua-dua kaum itu. Era pemerintahan Pak Lah menyaksikan banyak isu-isu yang berbentuk sentimen perkauman dan keagamaan yang tidak ditangani dengan serius. Bermula dengan pertikaian undang-undang syariah oleh 9 menteri bukan melayu ( Islam ), kes Lina Joy, dan yang terbaru Hindraf. Isu-isu yang berbaur sentimen perkauman ini akhirnya merebak dan dizahirkan oleh mereka ketika pilihanraya. Tidak hairanlah DAP mendapat saham yang besar daripada isu ini lantaran kelantangan mereka yang dilihat sebagai hero dalam membela kaum bukan peribumi di negara ini.

Manifesto Negara Kebajikan.
Untuk pilihanraya kali ini PAS dan BA tampil dengan menifesto ‘Negara Berkebajikan’ jika diberi mandat. Parti ini seolah-olah mendapat nafas baru dengan kebangkitan parti-parti Islam di luar negara yang lebih menonjolkan aspek-aspek kebajikan rakyat berbanding berkeras mengadakan undang-undang syariah. Imej sebegini menjadikan PAS lebih didekati rakyat terutamanya masyarakat bukan Islam. Bagi PKR pula jatuhnya Selangor ditangan mereka bagaikan durian runtuh. Pastinya negeri yang terkaya itu akan dibuktikan oleh mereka bahawa manifesto kali ini bukanlah omong-omong kosong. Namun seperti menurunkan harga petrol dan menghapuskan tol bukanlah sesuatu yang mampu dilakukan kerana semua itu dibawah kekuasaan kerajaan pusat.

Masalah dalaman
Namun seperti laporan Buletin Utama pada 9 Mac lalu, ramai penganalisis politik meletakkan kekalahan parti pemerintah kali ini adalah disebabkan faktor mereka sendiri. Kenaikan harga petrol, kenaikan harga barang, inflasi, angka jenayah dan rasuah. Ditambah juga dengan calon-calon parti kerajaan tidak popular dikalangan penyokong mereka sendiri. Jentera BN juga dilihat begitu lembab dan terpaksa bergantung kepada media massa berbanding pembangkang yang lebih agresif dengan menguasai kempen-kempen siber. Untuk piliharaya kali ini, sumber maklumat terkini tidak lagi terhad dengan tv dan surat khabar, bahkan website, blog dan web tv lebih meluas dikalangan masyarakat. Takala manifesto Negara Berkebajikan tersebar dengan pantas, BN seolah-olah ketiadaan idea untuk bersaing dengan manisfesto tersebut.

Umumnya melihat satu perubahan besar dalam keputusan pilihanraya negara dan pastinya akan merubah landskap politik negara.

Nasib Melayu dan bukan Melayu.
Dengan menawan Pulau Pinang dan mendapat kerusi sebanyak 28 di Parlimen pastinya akan menjadikan DAP semakin agresif. Parti ini bukan setakat berpengaruh dikalangan kelompok kaum minoriti bahkan turut menjadi pembela kepada pejuang-pejuang hak asasi kemanusiaan dan kebebasan agama. Bagaimanakah nasib Melayu di Pulau Pinang nanti? Walaupun janji mereka untuk membela semua rakyat tanpa mengira kaum namun ia masih diragui oleh masyarakat Islam dan Melayu di negara ini. Ataupun mungkin isu ketuanan Melayu bukanlah satu isu yang relevan untuk dihangatkan berbanding era 1969 dahulu? Kemudian tidak dilupakan juga kabinet yang akan dibentuk oleh kerajaan nanti dengan wakil-wakil kaum bukan melayu yang tidak popular dari kalangan parti kerajaan, adakah sanggup bagi kerajaan untuk melantik sebahagian menterinya daripada kalangan pembangkang terutamanya DAP? Agak mustahil itu berlaku di negara ini yang sangat ta’sub kepartian.

Kerajaan Campuran.
Kini terdapat 3 buah negari yang bakal membentuk kerajaan campuran. Dari sudut demokrasinya, kerajaan campuran lebih telus dan pembangkang tidak akan dilihat bersendirian dalam dewan. Namun jika dilihat dari sudut kestabilan dalam negara yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum, mampukah kerajaan campuran ini bertahan? Jika sebelum ini pakatan pembangkang sering goyah antara DAP dan PAS, kini selepas menang apakah yang menjamin keutuhan kerajaan campuran ini. Hanya kematangan pemimpin dan rakyat sahaja mampu untuk menstabilkan kerajaan ini. Namun tentunya cabaran lebih besar dengan sentimen perkauman dan bakal diburukkan lagi oleh media massa yang sememangnya terkenal bukan setakat dalam negara bahkan di luar negara sebagi media yang sangat anti dengan parti pembangkang walaupun parti tersebut sudah bergelar kerajaan.

Isu yang sudah lapuk.
Walaupun tidak memenangi majoriti 2/3 kerusi parlimen, BN masih lagi dapat membentuk kerajaan dengan majoriti mudah. Pilihan raya kali ini seharusnya menjadi pengajaran yang berguna terhadap mereka. Jika sebelum ini kempen mereka hanyalah ‘BN sahaja yang mampu membawa pembangunan’ dan ‘BN sahaja yang mampu mengawal kestabilan dan perpaduan negara’, maka slogan-slogan demikian sudah tidak laku lagi. Begitu juga dengan salah laku samada berbentuk penyelewengan kewangan mahupun moral kini sudah tidak boleh dipekakkan lagi oleh kerajaan. Ataupun mungkin pengajaran buat Perdana Menteri akan datang agar tidak bergurau dalam menentukan tarikh pilihanraya. Tidak lupa juga, pemilihan pucuk tertinggi Umno akan berlangsung pada September ini mungkin menjadi medan kepada para pemimpin Umno yang menang membelasah teruk pemimpin mereka yang kalah.

Posted by: mppm.jo | August 13, 2008

Rakyat Berjiwa Pemimpin

Oleh : Mohamad bin Mohsin

Sejarah telah membuktikan rakyat sebenarnya menyintai pemimpin yang berjiwa rakyat. Sesiapa yang menjadi pemimpin dan menunjukkan lagak seperti rakyat akan terus disokong. Buktinya rakyat Malaysia sering melaung-melaungkan slogan pemimpin berjiwa rakyat.Mereka menuntut pemimpin mereka sentiasa mendampingi rakyat. Mereka mahukan pemimpin mereka yang setidur dan semakan bersama-sama.Mereka juga seolah-olah kecewa apabila pemimpin yang mereka harap-harapkan menghilang setelah memenangi pilihanraya. Isu ini seringkali timbul apabila menjelang pilihanraya. Ketika pilihanrayalah wajah pemimpin kesayangan turun padang memancing undi. Ketika itulah mangsa banjir ditolong, majlis gotong-royong diadakan, anak kecil didokong calon bertanding dan bermacam-macam ragam dapat disaksikan. Maka saat itulah semua janji ditaburkan untuk memastikan kemenangan terus berpihak kepadanya. Persoalannya, sampai bilakah rakyat mahu menuntut pemimpin sebegitu? Dan sampai bilakah rakyat hendak dipermainkan dengan taktik yang tidak adil seperti itu?

Hakikatnya rakyat Malaysia seperti tidak sedar akan fenomena ini. Mudah sahaja terpedaya dengan pujuk rayu dan pancingan bakal “YB” yang menunjukkan sikap berjiwa rakyat. Sekarang ini bukanlah masanya untuk kita menuntut seorang pemimpin yang berjiwa rakyat. Apa yang lebih penting adalah usaha untuk menerapkan slogan baru iaitu “Rakyat Berjiwa Pemimpin”. Kita perlu mengejar dunia realiti. Mengharapkan seorang pemimpin yang berjiwa rakyat. Sekarang ini adalah dunia fantasi. Slogan baru ini sebenarnya bertepatan dengan seruan dan kehendak kerajaan untuk membina minda kelas pertama. Saya merasakan minda kelas pertama yang diidamkan oleh Perdana Menteri kita adalah minda seorang pemimpin. Belanjawan negara tahun 2008 yang bertemakan “Bersama Membina Negara dan Menikmati Kemakmuran” juga bertepatan dengan slogan ini. Kerajaan kelihatan sedang berusaha keras untuk meningkatkan modal insan rakyat apabila mengumumkan peruntukkan wang sebanyak RM 15.6 bilion untuk sektor pembangunan sosial yang merangkumi bidang pendidikan, kesihatan dan perumahan.

Antara fokus utama yang perlu diberi perhatian adalah keupayaan rakyat untuk melonjak dan menolak diri untuk menjiwai kepimpinan. Rakyat ibarat selesa dengan kedudukan yang dimiliki sekarang dengan syarat makan, pakaian dan tempat tidur terjamin. Rakyat perlu diransang mentalitinya supaya memperjuangkan kesedaran. Oleh itu, kita memerlukan rakyat yang berjiwa pemimpin untuk menggerakkan kesedaran rakyat. Tun Dr Mahathir menunjukkan sikap rakyat berjiwa pemimpin apabila pada pilihan raya tahun 1959 beliau mencadangkan beberapa kriteria calon yang layak bertanding walaupun beliau mendapat kritikan yang cukup hebat berkaitan cadangan itu. Tuan Guru Nik Abd Aziz pula dari seorang guru biasa tetapi mula menceburkan diri dalam dunia kepimpinan seterusnya menjadi antara pemimpin yang disegani kawan dan lawan. Khairy Jamaluddin juga seperti membuktikan dirinya seorang rakyat yang berjiwa pemimpin dengan kesungguhannya memperjuangkan maruah bola sepak negara melalui program reality MyTeam. Mereka semua telah membuktikan pada kita bahawasanya rakyat yang berjiwa pemimpin mampu menggerakkan kesedaran dan membentuk perubahan.

Rakyat berjiwa pemimpin adalah satu konsep untuk membentuk golongan rakyat supaya memiliki daya kepimpinan. Semua manusia mempunyai daya kepimpinan seperti yang dijelaskan oleh hadis Nabi SAW “Kamu semua adalah pemimpin”. Permasalahannya adalah sama ada cahaya kepimpinan itu bersinar atau tidak? Rakyat tidak boleh dipandang sekadar golongan bawahan, kelompok penerima arahan, dan juga kumpulan pelaksana rancangan. Mentaliti ini perlulah dipecahkan. Rakyat mestilah dijana pemikirannya untuk keluar dari zon selesa. Rakyat juga berhak untuk menjadi golongan pemberi arahan dan kelompok membentuk perancangan. Oleh itu, semangat inkuiri yang tinggi perlulah ditanam dalam diri rakyat. Rakyat seharusnya mempunyai kehendak untuk mengetahui setiap perkara yang terjadi. Kebiasaannya apabila berlaku sebarang masalah, pemimpin akan menggesa orang bawahannya untuk menyediakan laporan lengkap. Tetapi sedarkah rakyat bahawa mereka juga berhak berbuat demikan dengan meminta laporan dari pemimpin. Mintalah penjelasan dengan lengkap. Sebarang keputusan kabinet perlulah diberi penjelasan dengan panjang lebar dan relevan.

Antara sikap lain yang perlu ditekankan adalah kebolehan menyuarakan pandangan dengan bijak dan berani. Kita selalu mengharapkan pemimpin negara bijak menyuarakan pandangan. Sepatutnya kita juga perlu mengharapkan golongan rakyat yang mampu bersuara dengan bijak dan berani. Setiap pandangan yang bijak sepatutnya didasari dengan hujah yang kuat. Contohnya dalam isu menurunkan harga minyak. Pihak Barisan Alternatif (BA) bersungguh-sungguh mengatakan harga minyak boleh diturunkan. Kekayaan negara masih mampu untuk menanggung subsidi minyak. Manakala Barisan Nasional pula mengatakan negara akan bankrap sekiranya harga minyak diturunkan. Kedua-dua meraka hanya memberi pendapat tanpa mendatangkan bukti yang kuat. Bagi pihak BA sekiranya negara mampu menanggung subsidi minyak nyatakan dalam perangkaan. Berapakah keuntungan tahunan negara? Berapakah wang yang akan dibelanjakan semata-mata untuk subsidi minyak? Sampai bila kerajaan boleh menanggung subsidi? Apakah langkah-langkah yang wajar diambil bagi menampung keperluan itu? Bagi pihak BN pula nyatakan sebab-sebab mengapa negara boleh bankrap dengan menurunkan harga minyak? Adakah keuntungan yang diperolehi oleh PETRONAS setiap kali kenaikan harga minyak tidak mampu menanggung kos subsidi? Adakah negara sudah tiada hasil lain sekiranya harga minyak diturunkan? Semua itu melambangkan kebijaksanaan pemimpin menyuarakan pandangan kerana sampai sekarang tiada satupun pemimpin dari BN ataupun BA memberikan penjelasan dengan bijak dan tepat.

Jiwa kepimpinan yang seterusnya adalah sikap suka mempengaruhi tetapi sukar dipengaruhi. Pemimpin yang berwibawa akan mencipta pengaruh. Rakyat juga perlu bersikap demikian. Tuntutan rakyat perlu disuarakan dengan penuh berpengaruh sehingga pemimpin kita dengar dan terpengaruh untuk melaksanakan permintaan tersebut. Rakyat juga janganlah mudah terpengaruh dengan setiap bicara pemimpin. Kata-kata pemimpin kebiasaannya manis didengar. Tidak mudah terpengaruh dalam erti kata menerima pendapat pemimpin setelah dilakukan penelitian dan analisis. Rakyat perlulah bijak dalam menerima berita dan maklumat. Semua berita perlulah dikumpul sebanyak mungkin dari semua pihak. Kemudiannya rakyat sendirilah yang menilai baik buruk pandangan tersebut. Jangan biarkan pemimpin kita membayangi setiap keputusan yang kita buat. Sedarlah sebenarnya rakyat juga mampu berfikir seperti yang difikirkan oleh pemimpin kita bahkan kadang-kadang pemikiran rakyat sebenarnya lebih tajam dari pemimpin.

Sebagai penutupnya, marilah kita bersama-sama meningkatkan kualiti kita sebagai seorang rakyat. Kita sebenarnya sedang membina negara sekiranya menjadi seorang rakyat berjiwa pemimpin. Kebiasaannya manusia mempersoalkan kualiti kepimpinan. Tetapi mengapakah tiada orang yang mempersoalkan kualiti kerakyatan. Sikap kita menunjukkan kita sedang meletakkan masa depan negara hanya ditangan pemimpin semata-mata. Kehancuran negara juga adalah tanggungjawab kita. Kita juga berhak membentuk acuan negara. Slogan rakyat berjiwa pemimpin perlulah diterapkan secara berperingkat dan berterusan untuk menjamin masa depan negara. Negara akan terus maju sekiranya kualiti kerakyatan mampu ditingkatkan. Ke Arah Pembentukan Pemikiran Mahasiswa Islam.

Posted by: mppm.jo | August 13, 2008

Fakta Pilihanraya

• Barisan Nasional hanya memperolehi kira-kira 51 peratus jumlah undi daripada 7.9 juta pengundi yang membuang undi pada 8 Mac lalu..
• Namun ia, memperolehi 63 peratus dari jumlah kerusi yang dipertandingkan – 140 daripada 222 kerusi di Parlimen.
• Menariknya, jumlah 49.79 peratus undi yang diterima oleh Barisan Alternatif itu lebih merata di seluruh negara, yang juga bermaksud Barisan Alternatif menerima majoriti undi sebenar di dalam negara ini.
• Dan, apabila ditinjau pada kerusi parlimen, BN hanya memperolehi 85 kerusi Parlimen di Semananjung, manakala BA memiliki 82. Hampir 40 peratus kerusi BN adalah di Sabah dan Sarawak – 55 daripada 140.
• Calon termuda ialah dari PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, berumur 26. Beliau mengalahkan penyandang Seri Setia, Seripa Noli Syed Hussin.
• Calon tertua ialah nenek benama Maimun Yusuf, 89, yang bertanding di parlimen Kuala Terengganu . Beliau hilang wang pertaruhannya.
• 56 calon dari pembangkang dan calon Bebas juga hilang wang pertaruhan setelah gagal memperolehi satu perlapan dari jumlah undi yang dikira..
• Majoriti undi terbesar dimenangi oleh calon DAP Teresa Kok menentang BN Carol Chew, dengan 36,492 undi di palimen Seputeh di Kuala Lumpur.
• Majorit terkecil ialah 14 undi yang diteirma oleh calon BN Hamdi Abu Bakar yang mengalahkan Abu Bakar Haji Hussain dari PAS di DUN Pengkalan Baharu di Perak.
• Empat orang yang utama di dalam kes pita video Lingam semuanya berjaya iaiatu : Loh Gwo Burne (who yang merakam pita video), Wee Choo Keong (peguam yang mewakili adik VK Lingam semasa inkuiri) dan R Sivarasa serta Sim Tze Tzin (tersenarai sebagai saksi tetapi tidak dipanggil). Keempat-empat dari PKR.
• Calon terramai ialah dari kerusi DUN Sukau, Sabah, dimana lapan orang calon bertanding , termasuk 5 orang calon Bebas.
• Blogger terkenal Jeff Ooi – yang berkempen secara online dan kutipan derma dilakukan melalui blognya – berjaya di palimen Jelutong untuk DAP.
• Blogger lain termasuklah Tony Pua (DAP, Palimen Petaling Jaya Utara ), Elizabeth Wong (PKR, DUN Bukit Lanjan ) dan Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR, DUN Seri Setia).
• Aktivis masyarakat Charles Santiago (DAP, isu penswastaan air), Edward Lee (DAP, masyarakat setempat), Elizabeth Wong dan R Sivarasa (PKR, hak asasi manusia).
• Tamparan Hebat: Kekalahan komponen BN mengakibat beberapa kekosongan di dalam pelbagai kementerian, dan memaksa satu penyusunan kabinet dilakukan..
• Menteri:
1. S Samy Vellu (Menteri Kerja Raya)
2. Shahrizat Abdul Jalil (Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat)
3. Zainuddin Maidin (Menteri Penerangan)
4. Abdul Aziz Shamsuddin (Menteri Pembangunan Wilayah dan Luarbandar)
• Timbalan Menteri
1. Chia Kwang Chye (Kementerian Penerangan)
2. G Palanivel (Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat)
3. Tan Chai Ho (Kementerian Dalam Negeri)
4. V Veerasingam (Kementerian Perdagangan dan Hal Ehawal Pengguna)
5. S Sothinathan (Kementerian Sumber Asli dan Persekitaran)
6. Donald Lim (Kementerian Pelancongan)
7. Fu Ah Kiow (Kementerian Keselamatan Dalam Negeri)
8. M Kayveas (Jabatan Perdana Menteri)
• Setiausaha Parlimen
1. Chew Mei Fun (Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat)
2. P Komala Devi (Kementerian Pelajaran)
3. Lee Kah Choon (Kementerian Kesihatan)
4. Ng Lip Yong (Kementerian Industri Tanaman dan Komiditi)
5. S Vigneswaran (Kementerian Belia dan Sukan)
6. Rahman Ibrahim (Kementerian Dalam Negeri)
7. Dr Mohd Ruddin Ab Ghani (Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar) – tidak dicalonkan
8. Yew Teong Look (Kementerian Wilayah Persekutuan)
• Seluruh pasukan dari Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat kalah di dalam pilihanraya.
• Kesemua pemimpin tertinggi MIC kalah – Presiden, Timbalan Presiden, dua Naib-Presiden, Ketua Wanita dan Ketua Pemuda.
• Pemangku Presiden Gerakan yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang Tan Sri Koh Tsu Koon kecundang, Beliau tewas kepada bekas pensyarah, Dr P. Ramasamy daripada DAP.
• Daripada 12 kerusi Parlimen, Gerakan hanya menang kerusi Gerik dan Simpang Renggam, selain memenangi lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) — Kuala Sepetang (Perak), Ketari (Pahang), Pemanis (Johor), Bukit Batu (Johor) dan Derga (Kedah). Parti itu bertanding di 31 kerusi DUN dan tumpas kesemua kerusi di Pulau Pinang, tempat ia bertapak.
• Pak Lah masih menganggap dirinya relevan.

Fakta nombor

1. pelajar yang khirij fasal awal = 11 orang
2.pelajar baru yang daftar fasal thani = 6 orang
3.jumlah tekini pelajar mu’tah = 171 orang
Barisan Nasional hanya memperolehi kira-kira 51 peratus jumlah undi daripada 7.9 juta pengundi yang membuang undi pada 8 Mac lalu..

Namun ia, memperolehi 63 peratus dari jumlah kerusi yang dipertandingkan – 140 daripada 222 kerusi di Parlimen.

Menariknya, jumlah 49.79 peratus undi yang diterima oleh Barisan Alternatif itu lebih merata di seluruh negara, yang juga bermaksud Barisan Alternatif menerima majoriti undi sebenar di dalam negara ini.
Dan, apabila ditinjau pada kerusi parlimen, BN hanya memperolehi 85 kerusi Parlimen di Semananjung, manakala BA memiliki 80. Hampir 40 peratus kerusi BN adalah di Sabah dan Sarawak – 55 daripada 140.

Calon termuda ialah dari PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, berumur 26. Beliau mengalahkan penyandang Seri Setia, Seripa Noli Syed Hussin.

Calon tertua ialah nenek benama Maimun Yusuf, 89, yang bertanding di parlimen Kuala Terengganu . Beliau hilang wang pertaruhannya.

56 calon dari pembangkang dan calon Bebas juga hilang wang pertaruhan setelah gagal memperoelhi satu perlapan dari jumlah undi yang dikira..

Majoriti undi terbesar dimenangi oleh calon DAP Teresa Kok menentang BN Carol Chew, dengan 36,492 undi di palimen Seputeh di Kuala Lumpur.

Majorit terkecil ialah 14 undi yang diteirma oleh calon BN Hamdi Abu Bakar yang mengalahkan Abu Bakar Haji Hussain dari PAS di DUN Pengkalan Baharu di Perak.

Empat orang yang utama di dalam kes pita video Lingam semuanya berjaya iaiatu : Loh Gwo Burne (who yang merakam pita video), Wee Choo Keong (peguam yang mewakili adik VK Lingam semasa inkuiri) dan R Sivarasa serta Sim Tze Tzin (tersenarai sebagai saksi tetapi tidak dipanggil). Keempat-empat dari PKR.

Calon teramai ialah dari kerusi DUN Sukau, Sabah, dimana lapan orang calon bertanding , termasuk 5 orang calon Bebas.

Blogger terkenal Jeff Ooi – yang berkempen secara online dan kutipan derma dilakuka melalui blognya – berjaya di palimen Jelutong untuk DAP.

Blogger lain termasuklah Tony Pua (DAP, Palimen Petaling Jaya Utara ), Elizabeth Wong (PKR, DUN Bukit Lanjan ) dan Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR, DUN Seri Setia).

Aktivis masyarakat Charles Santiago (DAP, isu penswastaan air), Edward Lee (DAP, masyarakat setempat), Elizabeth Wong dan R Sivarasa (PKR, hak asasi manusia).

Tamparan Hebat
Kekalahan komponen BN mengakibat beberapa kekosongan di dalam pelbagai kementerian, dan memaksa satu penyusunan kabinet dilakukan..

Menteri
S Samy Vellu (Menteri Kerja Raya)
Shahrizat Abdul Jalil (Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat)
Zainuddin Maidin (Menteri Penerangan)
Abdul Aziz Shamsuddin (Menteri Pembangunan Wilayah dan Luarbandar)

Timbalan Menteri
Chia Kwang Chye (Kementerian Penerangan)
G Palanivel (Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat)
Tan Chai Ho (Kementerian Dalam Negeri)
V Veerasingam (Kementerian Perdagangan dan Hal Ehawal Pengguna)
S Sothinathan (Kementerian Sumber Asli dan Persekitaran)
Donald Lim (Kementerian Pelancongan)
Fu Ah Kiow (Kementerian Keselamatan Dalam Negeri)
M Kayveas (Jabatan Perdana Menteri)

Setiausaha Parlimen
Chew Mei Fun (Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat)
P Komala Devi (Kementerian Pelajaran)
Lee Kah Choon (Kementerian Kesihatan)
Ng Lip Yong (Kementerian Industri Tanaman dan Komiditi)
S Vigneswaran (Kementerian Belia dan Sukan)
Rahman Ibrahim (Kementerian Dalam Negeri)
Dr Mohd Ruddin Ab Ghani (Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar) – tidak dicalonkan
Yew Teong Look (Kementerian Wilayah Persekutuan)

Seluruh pasukan dari Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat kalah di dalam pilihanraya. .

Kesemua pemimpin tertinggi MIC kalah – Presiden, Timbalan Presiden, dua Naib-Presiden, Ketua Wanita dan Ketua Pemuda.

Pemangku Presiden Gerakan yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang Tan Sri Koh Tsu Koon kecundang, Beliau tewas kepada bekas pensyarah, Dr P. Ramasamy daripada DAP.

Daripada 12 kerusi Parlimen, Gerakan hanya menang kerusi Gerik dan Simpang Renggam, selain memenangi lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) — Kuala Sepetang (Perak), Ketari (Pahang), Pemanis (Johor), Bukit Batu (Johor) dan Derga (Kedah).

Parti itu bertanding di 31 kerusi DUN dan tumpas kesemua kerusi di Pulau Pinang, tempat ia bertapak.

Posted by: mppm.jo | August 13, 2008

Pentingnya Pemerhati di dalam sesebuah Pilihanraya

Oleh : Mohd Shahrul Bin Shahrom
Presiden PPMA 2007/2008

Baru-baru ini, kita digemparkan dengan beberapa perhimpunan aman secara besar-besaran yang dianjurkan oleh beberapa pertubuhan di negara kita. Antara yang mendapat liputan hebat di media antarabangsa dan Malaysia adalah perhimpunan BERSIH pada 10 November 2007. Tujuan perhimpunan itu diadakan adalah bagi menyerahkan memorandum rakyat kepada Yang di-Pertuan Agung. BERSIH adalah sebuah jawatankuasa gabungan yang terdiri daripada organisasi-organisasi masyarakat sivil dan parti-parti politik dengan matlamat utama untuk memperjuangkan pilihanraya yang bebas dan adil di Malaysia. Pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan kerajaan pula menafikan, dan mengatakan bahawa sistem pilihanraya di Malaysia berjalan dengan baik, bebas dan adil.

Maka berlakulah cabar mencabar antara tiga pihak. Sehinggalah Perdana Menteri sendiri di dalam Perhimpunan Agung Umno berkata “ SAYA PANTANG DICABAR ” terhadap perhimpunan 100 000 rakyat yang dianjurkan oleh BERSIH. Manakala Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid pula mengatakan bahawa beliau sedia meletakkan jawatan, sekiranya terdapat penipuan terhadap perjalananan sistem pilihanraya dan ianya mestilah dibuktikan oleh pihak mahkamah. Pihak BERSIH pula mencabar Pengerusi SPR supaya bersumpah dengan cara Islam bahawa beliau tidak sedikit pun membantu Barisan Nasional (BN) untuk mencapai kemenangan. Keadaan ini berlarutan sehinggalah berlaku penangkapan terhadap penyokong-penyokong BERSIH ketika perhimpunan.

Bagi saya, keadaan sebegini boleh diatasi, jika pihak kerajaan menubuhkan sebuah pemerhati bebas atau memanggil pemerhati luar negara bagi memantau sistem perjalanan pilihanraya di negara kita. Dengan tertubuhnya pemerhati pilihanraya, maka tuduh menuduh, cabar mencabar, rasa tidak puas hati, pemberontakan dan penangkapan boleh dielakkan. Keadaan yang keruh boleh dijernihkan. Kita juga mengharapkan sebuah masyarakat madani yang harmoni, yang selari dengan apa yang dilaung-laungkan oleh kerajaan.

Jika kita lihat dari sudut agama, syariat Islam telah memberikan berbagai-bagai contoh teladan yang ideal kepada kaum muslimin dalam pelaksanaan amal ibadat di dalam kehidupan kita seharian. Tujuannya adalah agar kita memperhatikannya dan berusaha untuk mencapainya dengan sepenuh hati dan sepenuh usaha. Mungkin apa yang boleh saya kaitkan berkenaan dengan artikel ini adalah pentingnya saksi di dalam Islam . Sebagai contoh, penggunaan saksi di dalam akad nikah. Islam telah mewajibkan saksi sebagai syarat sah akad nikah adalah bertujuan bagi memastikan kesahihan akad nikah tersebut. Dalam konteks perbicaraan pula, Islam telah mewajibkan perlu adanya saksi-saksi yang adil sebagai kayu pengukur samada seseorang itu bersalah atau pun tidak. Mungkin juga kita terlupa bahawa setiap diri manusia mempunyai saksi tersendiri iaitu raqib dan aa’tib, yang memerhati dan menulis dosa pahala kita. Kita juga perlu ingat di akhirat nanti anggota badan kita menjadi saksi apa yang kita lakukan di dunia ini.
Apa yang boleh saya katakan di sini adalah betapa pentingnya peranan saksi atau pemerhati di dalam apa jua yang kita lakukan agar tidak menjadi fitnah dan masalah di dalam kehidupan kita di dunia ini. Apatah lagi penggunaan pemerhati ataupun saksi di dalam sesebuah pilihanraya, samada pilihanraya persatuan, kelab, organisasi dan negara. Dengan adanya saksi, masalah-masalah di atas boleh diselesaikan dengan mudah. Pemerhati boleh memainkan peranan sebagai hakim dengan menentukan sesebuah pilihanraya itu telus ataupun tidak dengan mengemukakan bukti-bukti yang mereka perolehi. Jika ada pihak-pihak yang tidak berpuas hati dengan sistem perjalanan pilihanraya, pemerhati boleh mengemukakan laporan atau bukti-bukti perjalanan sesebuah pilihanraya itu, bagi menyelesaikan dan seterusnya menutup tuduhan-tuduhan pihak-pihak luar yang mengatakan sesuatu perjalan pilihanraya itu adil mahupun tidak.

Dari apa yang kita dengar dan tahu, pelbagai isu sudah diketengahkan oleh banyak pihak tentang ketidak telusan perjalanan sistem pilihanraya di negara kita. Tetapi setakat ini tidak ada satupun langkah-langkah yang diambil oleh pihak kerajaan dan SPR bagi membenteras keadaan sebegini terus berlaku, bahkan pihak kerajaan mengatakan perjalanan pilihanraya di negara kita berjalan dengan adil dan telus dan tidak perlu kepada pemerhati luar bagi menilai sistem perjalanan pilihanraya di negara kita. Oleh itu jika betul-betul pihak SPR telus mengendalikan pilihanraya, mengapa masih ramai yang mempertikainya, dan mengapa tidak saja memanggil pemerhati luar bagi menutup isu-isu yang diketengahkan oleh pelbagai pihak.

Sebagai penutupnya saya sekali lagi menegaskan supaya pemerhati luar dapat dilantik bagi menjadi saksi terhadap perjalanan pilihanraya di Malaysia yang akan datang. Kita tidak mahu melihat rakyat dikelirukan oleh kedua-dua belah pihak kerana kebenaran itu hanya boleh dibuktikan.

Posted by: mppm.jo | August 13, 2008

DUN

DUN yg paling sejuk, DUN Batu Berendam
DUN yg paling tak de rasa, DUN Air Tawar
DUN yg paling panas, DUN Pedas
DUN yg paling miskin, DUN Sekupang
DUN yg paling banyak makanan laut, DUN Tiram
DUN yg paling muda, DUN Sri Muda
DUN yg paling lemah, DUN Batang Berjuntai
DUN yg paling basah, DUN Sg Besar
DUN yg kuat makan satay, DUN Kajang
DUN yg banyak hantu, DUN Pucong
DUN yg ada istana, DUN Kota Raja.
DUN yg paling kaya, DUN Pasir Mas.
DUN yg paling banyak Parit, DUN Parit Raja
DUN yg banyak ikan, DUN Tg Sepat
DUN yg paling keras, DUN Batu Tiga
DUN paling pendalaman, DUN Hulu Klang
DUN banyak air, DUN Ampangan
DUN banyak pengganas, DUN Kuala Kubu
DUN paling takde kemajuan, DUN Gurun
DUN paling bahaya, DUN Baling
DUN banyak semut, DUN Kota Sarang Semut.
DUN paling pelik, DUN Sg Ada Burung.
DUN ada binatang, DUN Kijang
DUN paling wangi, DUN Pokok Sena
DUN paling tak cantik, DUN Batu Buruk
DUN paling garang, DUN Senggarang
DUN yg paling kurang “turn out voting”, DUN Care
DUN paling banyak berahsia, DUN Tell Anybody kehkehkeh.. ..

« Newer Posts - Older Posts »

Categories