Posted by: mppm.jo | July 10, 2008

Ucapan Dasar PERTAMA 2008

Assalamualaikum w.b.t

Firman ALLAH SWT yang bermaksud ( Surah Ali “Imran : Ayat 185)

” Tiap-tiap jiwa (yang hidup) akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat kelak sahajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa yang dijauhkan dari api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sesungguhnya ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan kepada Allah SWT, Tuhan pencipta alam semesta, kerana hanya dengan izin dan inayahNYA kita dapat berkumpul bersama menghadiri Persidangan Tahunan Mahasiswa Malaysia SeJordan kali ke-2 ini dalam keadaan aman dan sihat walafiat setelah hampir 7 tahun MPPM tidak mengadakan persidangan ini.

Dan suatu perkara yang lebih penting dari perkara di atas adalah berkumpulnya kita dalam keadaan Iman dan Islam yang masih tersemat disanubari. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, jua buat ahli keluarga Baginda dan para sahabat sekaliannya.

Para hadirian sekalian,

“Membina Kekuatan Mahasiswa”.

Adalah tema yang telah dipilih untuk diletakkan sebagai fokus utama bagi Persidangan Tahunan Mahasiswa Malaysia SeJordan kali ke-2 ini. MPPM kini menjangkau usia 8 tahun dari mula ia ditubuhkan, iaitu pada tahun 2000. Selama tempoh 8 tahun ini, pelbagai aktiviti telah dijalankan oleh pihak MPPM dalam usaha untuk meningkatkan kualiti dan kreadibiliti mahasiswa di Jordan. Dua aspek penting yang harus ditelek semula, iaitu kualiti, sama ada kita sebagai seorang mahasiswa apatah lagi sebagai seorang Muslim, dan juga kreadibiliti yang menjadi elemen asas yang perlu berdiri kukuh dalam diri mahasiswa agar kekuatan yang ingin dijana dalam diri mahasiswa dapat dilihat dan diteladani oleh masyarakat sekeliling.

Sekiranya kita mengimbas kembali era kebangkitan mahasiswa pada zaman 70-an, di mana suara mahasiswa memberikan impak yang cukup besar kepada pembangunan masyarakat, sama ada dari sudut fizikal mahupun mentaliti masyarakat pada ketika itu, terutama kepada pembangunan minda masyarakat Islam sendiri, seperti “idea faham Islam” yang bergerak di beberapa kampus sekitar Lembah Klang pada era tersebut. Mahasiswa pada era kebangkitan ini telah banyak memainkan peranan yang penting terutamanya dalam perkara-perkara yang dilihat memberi ancaman kepada agama Islam, seperti isu Kristianisasi, ratu cantik, al-Quran palsu, murtad dan sebagainya. Selain faktor kekuatan akidah, syariah dan akhlak serta tasauf pada diri seorang mahasiswa Muslim, kekuatan yang seharusnya dimiliki oleh mahasiswa juga terletak pada akal yang cergas, dan disokong pula dengan keadaan fizikal dan semangat juang yang tinggi. Faktor-faktor inilah yang memberi kesan kepada kekuatan suara dan usaha mahasiswa. Di mana-mana negara sekalipun, komuniti pemuda, mahasiswa dan golongan terpelajar sentiasa menjadi pelopor dalam era kebangkitan sesebuah negara. Maka kita selaku mahasiswa seharusnya memiliki kekuatan sedemikian, agar kekuatan yang ada pada diri kita sebagai seorang mahasiswa dapat dijana dan memberi manfaat kepada masyarakat sekeliling, negara dan kepada Agama ALLAH Subhanahu wa Taala

Masalah mahasiswa

Para hadirin dan hadhirat yang dirohmati ALLAH sekalian,

Apa yang berlaku pada sebahagian dunia mahasiswa, khususnya mahasiswa yang berada di Jordan. Mahasiswa kita kelihatan lesu, dan kurang menonjol dalam arena gerakan mahasiswa, malah tidak berminat untuk menghadiri aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh persatuan dan gerakan mahasiswa, apatah lagi memberikan sumbangan tenaga dan idea. Walaupun ia berlaku pada sebahagian mahasiswa.

Namun ia tetap memberikan impak yang cukup besar dalam usaha kita melahirkan mahasiswa yang berkualiti dan mampu menyumbang kepada masyarakat dan negara.

Bahkan ada di kalangan mahasiswa yang tidak mengendahkan soal akademik yang menjadi hadaf utama untuk menjejakkan kaki di bumi anbiya’ ini. Malah terus hanyut dibawa arus kemodenan yang memberikan hiburan yang keterlaluan sehingga tercampak ke lembah kealpaan dan kerugian. Mengenal artis-artis dan ahli-ahli sukan adalah menjadi keutamaan berbanding mengenal para alim ulama’, berasa tenang menonton rancangan hiburan dan lagu berbanding menonton rancangan ilmiah yang terlalu banyak di satellite dan internet, kerap mengunjugi tempat untuk bersiar-siar seperti Mecca mall, mukhtar mall dan seumpamanya yang lebih selesa dari mengunjungi majlis-majlis ilmu serta rumah-rumah ALLAH untuk menunaikan solat secara berjemaah. Sehinggakan solat yang fardhu itu sendiri sanggup dipandang sebagai perkara yang remeh-temeh.

Malah lebih memburukkan lagi nama dan keadaan mahasiswa, apabila ada segelintir mahasiswa Islam terjerumus ke kancah gejala sosial dan ikhtilat yang melampaui batas serta melanggar hukum syara’. Ziarah-menziarahi sesama akhawat dan syabab tanpa kawalan perbatasan, menganjurkan aktiviti-aktiviti yang menggalakkan percampuran antara siswa dan siswi seperti upacara makan malam, pertandingan bowling, rehlah di dalam dan di luar Jordan tanpa kawalan berlandaskan syara’ dan yang seumpamanya. Malah lebih buruk lagi ada yang sanggup keluar berdua-duaan.

Keadaan yang kritikal ini menjadi semakin keruh dan tercemar lantas mencarikkan kecantikan biah Islamiyah apabila konsep “AL-AMRU BIL MA’RUF WA AL-NAHYU ‘ANIL MUNKAR” menjadi terasing dalam kehidupan mahasiswa. Sehingga ada yang sanggup membutakan mata hati dengan tidak mengendahkan apa yang berlaku pada rakan-rakan sekeliling malah meredai dengan kemaksiatan yang berlaku tanpa sedikit pun berdoa memohon taufiq dan Hidayah daripada ALLAH SWT.

Punca Masalah

Para hadirin dan hadhirat yang dirahmati ALLAH sekalian,

Pada sunnatullah, jikalau tertebuknya buah yang masak di atas pohon, pasti adanya tupai yang datang tanpa diundang. Jikalau masalah yang berlaku pada hari ini menimpa diri, pasti ada punca serta sebab yang perlu dikaji.

Antara faktor utama yang menyemai benih permasalahan ini adalah kerana kegoyangan AKIDAH dan SYARIAH lantas dengan kegoyangan kedua-dua sendi yang penting ini, maka akan rosak dan berkecamuklah AKHLAK dan kerohanian lantas meninggalkan tasauf yang mengajar erti penyucian diri.

Maka ketiga-tiga kelemahan ini memberikan kesan negatif yang sangat besar. Sebagai seorang mahasiswa, antara punca ketiga-tiga kelemahan ini (hatta pelajar Syariah) adalah kerana kurangnya aplikasi pada ilmu yang diperolehi, sama ada melalui kelas-kelas di universiti, mahupun kelas-kelas tafaquh dan talaqqi. Malah tidak berasa berminat untuk menghadiri majlis-majlis ilmu.

Mengapa perkara ini terjadi? Kerana mahasiswa tidak terlibat dengan aktiviti-aktiviti kemasyrakatan sebagaimana yang dianjurkan oleh persatuan-persatuan di tempat masing-masing. Kesannya, ilmu yang diperolehi tidak ‘teruji’, menyebabkan mahasiswa sendiri menjadi kurang yakin dengan ilmu yang ditimbanya sendiri. Sehingga menjadi seorang mahasiswa yang ‘belajar untuk exam’ yang merugikan mahasiswa itu sendiri kerana tidak mendapat pengalaman dan manfaat belajar di Timur Tengah melainkan segulung sijil yang dihias di dinding kamar.

Namun, apabila kita terlibat dengan aktiviti-aktiviti luar, secara langsung atau tidak langsung kita akan mengaplikasikan ilmu yang yang telah diperolehi, sama ada berkaitan akidah,fiqh (hal-hal berkaitan hukum-hakam), akhlak dan juga perkara-perkara yang berkaitan dengan bidang perubatan.

Akidah yang goyah sememangnya memberikan kesan yang negatif kepada gaya hidup mahasiswa itu sendiri. Dengan kegoyangan aqidah, maka kita tidak mampu untuk melahirkan rasa takut dan gerun dengan azab ALLAH, justeru benih ketaqwaan tidak dapat disemai kerana tanah keimanan yang kering kontang bagaikan padang jarak padang terkukur. Lantas dengan ketandusan itu bagaimana untuk melahirkan rasa cinta yang mendalam kepada ALLAH dan Rasul, sehinggakan segala yang dilarang dan dimurkai ALLAH dilakukan tanpa segan silu, segala perintahNYA ditinggalkan tanpa rasa berdosa malah sunnah RasulNYA diperlekeh-lekehkan. Qadha’ dan Qodar ALLAH tidak diyakini yang akhirnya membuahkan rasa pergantungan selain daripada ALLAH dan bergundah gulana dengan sesuatu musibah yang menimpa diri. Lantas dengan pemberontakan jiwa yang menggelegak menjadikan diri tidak menentu dan terus terjerumus ke lembah kebinasaan kerana tidak yakin untuk menyerahkan segalanya kepada ALLAH.

Yang demikian, dengan kelemahan akidah itu sendiri, mampu merosakkan Syariah dan Akhlak seseorang itu. Syariah yang telah dipelajari sama ada di dalam universiti mahupun di luar universiti seperti kelas-kelas tafaqquh, tidak dapat digenggam dengan seerat yang mungkin, maka hukum-hakam tidak dihiraukan dalam kehidupan seharian dan akhirnya bercambahlah kerosakan akhlak yang malangnya bercambah dikalangan mahasiswa muslim.

Kesemuanya ini adalah hasil daripada serangan pemikiran yang dicipta oleh musuh-musuh ALLAH untuk melahirkan Umat Islam yang tidak percaya dan yakin dengan keseluruhan yang telah diturunkan oleh ALLAH ta’ala yang merangkumi segala aspek. Fahaman-fahaman ciptaan manusia seperti sekularisme, komunisme, kapitalisme, sosialisme dan yang seumpamanya adalah senjata utama untuk meracuni pemikiran umat Islam agar tidak yakin dengan apa yang telah diturunkan oleh ALLAH subhanhu wa ta’ala.

Firman ALLAH ta’ala yang bermaksud di dalam surah al-Baqarah : ayat 138 :-

Itulah corak (celupan/acuan) ALLAH, maka siapa yang lebih baik coraknya/acuannya dari ALLAH”

Jalan Penyelesaian

Hadirin dan hadirat yang dirahmati ALLAH sekalian,

Sungai yang telah tercemar pasti ada puncanya di hulu bukan hiliran, tiada guna menanti kejernihan air kiranya hulu tidak dibersihkan. Maka kembali ke hulu untuk mencari punca pencemaran adalah suatu kemestian agar dapat membuang segala sampah-sampah dan menyekat musuh-musuh yang selama ini membuang toksik yang menjijikkan.

Dengan itu menjadi simbolik kepada kita agar kembali kepada kesyumulan Islam yang sentiasa berpandukan al-Quran dan Sunnah,

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 208, yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam agama Allah semuanya (dengan mematuhi segala hukumNya), dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu.”

Maka kita harus mengamalkan cara hidup Islam yang menyeluruh samada dari perkara kecil seperti adab memasuki tandas sehinggalah ke peringkat yang besar seperti solat, pentadbiran Negara dan sebagainya. Kerana dengan keyakinan yang jitu untuk mengambil kesyumulan Islam sahajalah dapat menyelamatkan di dunia apatah lagi di akhirat kelak.

Justeru tak dapat tidak, kita harus mencintai sedalam-dalamnya dan mencontohi sunnah Nabi Sollallahu ‘alaihi wasallam dari aspek kehidupan. Kerana Baginda Sollallahu ‘alaihi wasallam sahajalah contoh tauladan yang terbaik.

Firman ALLAH yang bermaksud :

” Sesungguhnya adalah bagi kamu semua apa yang ada pada Rasulullah itu sebagai contoh tauladan yang teramat baik”

Firman ALLAH Ta’ala yang bermaksud : (surah Ali Imran : Ayat 104)

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak Yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik, serta melarang daripada Segala Yang salah (buruk dan keji). dan mereka Yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya”

Selain itu juga, bersesuaian dengan keadaan kita sebagai mahasiswa, kita seharusnya mewujudkan masyarakat kita yang mencintai ilmu dengan mengadakan kelas-kelas tafaqquh, menghadiri kelas-kelas talaqqi dari masyayikh yang berada di Jordan ini. Kerana dengan ilmu yang mencukupi inilah yang dapat membimbing kita untuk memperbaiki aqidah, syariah dan akhlak yang menjadi perkara penting dalam agama.

Sabda Rasulullah Sollallahu ‘alihi wasallam yang bermaksud :

‘Sesungguhnya ilmu itu hanya diperolehi dengan belajar dan kefahaman pula hanya didapati dengan mendalaminya, sesiapa yang dikehendaki oleh ALLAH kebaikan pada dirinya, diberikan kefahaman yang mendalam dalam urusan agama’ (Riwayat At-Tabroni)

Untuk melahirkan masyarat Islam khususnya mahasiswa muslim, perkara ini telah dijelaskan oleh Profesor Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya Malamih al-Mujtama’ al-Muslim al-lazi Nasyudduhu iaitu Ciri-ciri Unggul Masyarakat Islam yang Kita Idamkan iaitu: masyarakat Rabbani (berteraskan nilai Ilahi), kemanusiaan (humanity), berakhlak dan seimbang. Islam itu tidak menyekat, tetapi ia mengawal kehidupan manusia agar sentiasa berada di atas jalan yang membawa mereka kepada kebahagiaan dan kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Kereta dicipta dengan kuasa untuk bergerak, tetapi pergerakannya perlu diatur dan dikawal. Tanda-tanda jalan itu bukan untuk ‘menyekat’ kereta tetapi ‘mengawal’ agar pergerakan kereta sentiasa selamat. Kita sentiasa merasakan Islam menyekat pergerakan kita, kita tidak bebas dengan mengikut peraturan-peraturan agama, namun sedarkah kita kesannya kepada diri kita sekiranya kita tidak beruasaha mengikut kawalan yang telah digariskan? Ibarat mengelakkan kereta terjunam ke dalam gaung maka diletakkan papan tanda keselamatan di jalan raya, begitulah juga Islam datang dengan syariat yang hakikatnya selari dengan fitrah manusia, untuk memandu manusia agar tidak terjerumus ke lembah yang melalaikan dan merosakkan.

Selain daripada perkara-perkara yang disebutkan di atas, bersesuaian dengan keadaan kita yang berpersatuan, Maka seharusnya mahasiswa mengaktifkan diri dalam gerakan pelajar. Faedah yang kita perolehi bukan satu, malah beribu. Kita akan terdedah kepada pelbagai keadaan dan situasi yang memerlukan kita berfikir secara serius untuk mencari jalan penyelesaian. Jangan lihat ia memeningkan kepala, tetapi lihatlah bagaimana ia membantu kita menajamkan akal fikiran, memudahkan kita menyelesaikan masalah-masalah lain selepas itu, sama ada akademik mahupun urusan luar. Kita juga akan berhadapan dengan pelbagai ragam manusia dalam berurusan, sama ada rakan sebaya, orang berpangkat ataupun masyarakat secara umum. Pengalaman berurusan dengan pelbagai lapisan masyakakat akan mematangkan kita dan menjadikan kita sedar betapa besarnya hikmah Allah SWT melatih kita dengan sifat sabar, mengajar kita kepentingan untuk saling mengenali dan memahami, tolak ansur dalam pergaulan seharian. Kerana Allah SWT menjadikan manusia dengan kondusi akal dan fizikal yang berbeza, kekuatan dan kelemahan yang berbeza. Kekuatan yang ada bukan untuk dimegahkan, dan kelemahan yang ada bukan untuk kita merasa rendah diri, tetapi melatih manusia untuk saling lengkap-melengkapi, bantu-membantu antara satu sama lain.Selain itu, kita juga dapat memanfaatkan masa lapang dengan sebaiknya.

Misi MPPM 2010 (menjelang genap 10 tahun MPPM)

Mahasiswa dan Mahasiswi sekalian,

MPPM pada sesi ini berusaha keras untuk memastikan segala keperluan mahasiswa, sama ada dari sudut akademik mahupun kemahiran insaniah, dapat dihidangkan dengan sebaiknya kepada mahasiswa. Antaranya adalah melalui aktiviti-aktiviti yang telah disusun untuk sepanjang sesi seperti Minggu Haluan Siswa untuk pelajar baru, Kursus Organisasi untuk pimpinan-pimpinan persatuan zon dan anak negeri, PERTAMA, Ihtifal atau Karnival MPPM yang bakal berlansung pada awal bulan Mei tahun ini insyaAllah. Selain itu, pihak MPPM juga beruasaha untuk menerbitkan majalah Aspirasi, iaitu majalah tahunan MPPM, dan kami juga telah membina laman web khas MPPM yang insyaAllah boleh di akses pada pertengahan bulan Februari ini. MPPM berusaha untuk membantu pelajar pada peringkat PZ dan BKAN dengan menyalurkan bantuan kewangan untuk program-program yang dianjurkan. Kami cuba menyediakan yang terbaik dalam usaha merealisasikan matlamat MPPM sesi ini iaitu merelevankan MPPM di mata ahli.

Untuk MPPM sendiri, kami telah menyusun misi menjelang 10 tahun MPPM pada tahun 2010 ini, dimana kami meletakkan sasaran tahun 2009 untuk mempromosikan MPPM ke semua IPT sama ada dalam negara (Malaysia) ataupun luar negara, dan perkara itu telah bermula sesi ini sedikit demi sedikit. Antaranya kami telah menghantar surat makluman pentadbiran MPPM sesi ini beserta poster MPPM kepada beberapa IPTA di Malaysia, dan antaranya adalah UIAM, UM, USM, UTP, UKM dan UPM. Melalui laman web MPPM juga kami berusaha memperkenalkan MPPM dan mempromosikan MPPM kepada masyarakat luar. Untuk tahun 2010, kami mensasarkan untuk mengantarabangsakan MPPM, di mana MPPM mampu untuk mengajurkan program-program yang lebih besar dan berprestij, seperti Konvensyen Kepimpinan Mahasiswa Timur Tengah, pertemuan bersama pimpinan-pimpinan pelajar IPT luar negara. Selain itu, MPPM juga pada usia 10 tahun mampu untuk bersuara dalam isu-isu yang melibatkan mahasiswa ataupun negara Malaysia sendiri, sama ada soal politik, ekonomi, keselamatan negara, agama, kerjaya dan sebagainya.

Penutup

Untuk membina kekuatan dan mencapai suatu kebersamaan sebenarnya tidak cukup dengan apa yang telah dijelaskan sebentar tadi. Ini semua menuntut kita agar dapat menggembleng tenaga, membulatkan kekuatan, memperkasakan akhlak dan hikmah, memperluaskan empayar ukhuwwah agar suara kita besar, pengaruh kita luas, jejak kita berbekas, musuh kita gentar, ketika itulah titik pertemuan yang paling besar iaitu memartabatkan Islam tercinta akan terealisasi.

Mengapa yang keruh dikubang-kubangi, sedangkan yang jernih mengalir tidak terhenti.., mengapa yang busuk diamat-amati.., sedangkan kasturi disisih-sisihi…, mengapa bintang di langit hendak digapai, sedangkan bintang di hati terkapai-kapai..

Namun ingatlah, selagi bumi berputaran, selagi itu pancaroba bersilih ganti.., dan selagi nyawa dikandung badan, selagi itulah tiada hijabnya taubat kesali..

Firman ALLAH yang bermaksud (Surah Al-an’am : Ayat 162)

“Katakanlah sesunguhnya sembahyangku, ibadahku hidupku dan matiku semata-mata untuk ALLAH, tuhan semesta alam”

Akhirnya, selamat bersidang, semoga mendapat manfaatnya. Wassalam


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Categories

%d bloggers like this: