Posted by: mppm.jo | July 12, 2008

Gemuruh Jiwa Muda si Faizal

Faizal Tahir. Satu nama yang mula meningkat naik di dalam industri muzik tanahair selepas bergelar naib juara pertandingan One In A Million (OIAM) suatu ketika dulu. Walaupun penglibatannya secara langsung di dalam industri ini telah lama, iaitu sejak menganggotai kumpulan nasyid Mirwana lagi, namun kini dia selesa memilih jalan untuk bergerak secara solo mewarnai dunia pop rock yang dikatakan lebih sesuai dengan jiwa mudanya. Dulu nasyid, sekarang rocker.

Baru-baru ini pula, negara dikejutkan dengan aksi si Faizal ini yang telah membuka baju menunjukkan belang kelelakiannya di hadapan kira-kira 8000 peminatnya di salah sebuah konsert yang telah dianjurkan oleh 8TV, yang turut disiarkan secara langsung di seluruh negara. Namun, sebelum itu lagi, iaitu semasa berlangsungnya separuh akhir AJL 22, si Faizal ini juga telah membuat aksi spontan menggelungsur di atas pentas tatkala dua buah lagunya terpilih untuk mara ke pertandingan akhir AJL 22.

Gara-gara tindakan spontannya yang menurut sesetengah pendapat sebagai satu ekspresi diri, si Faizal ini telah dihukum melakukan kerja amal selama 6 bulan dan digantung daripada mengadakan sebarang persembahan selama 3 bulan berkuatkuasa 15 Januari lalu. Maka, tidak berpeluanglah dia untuk beraksi spontan di dalam AJL 22 lalu. Ketika ditanya media, dia terkilan kerana tidak berpeluang menyertainya dan hanya menonton di rumah sahaja bersama anak-anak. Sia-sia sahajalah nampaknya aksi gelungsurnya ketika terpilih menjadi finalis sebelum itu. Sudah nasib badan, apa nak buat.

Apa reaksi rakyat Malaysia? Ada yang marah, benci, kutuk, suka, terkejut, hairan dan bermacam-macam reaksi lagi yang telah ditunjukkan oleh masyarakat. Tidak kurang pula ada yang tidak tahu-menahu langsung. Ada suara-suara sumbang yang mempertikaikan keperibadian penyanyi yang popular dengan lagu ‘Gemuruh’ ini yang merupakan seorang graduan, seorang bapa dan merupakan ketua keluarga kepada isteri dan anak-anaknya. Patutkah seseorang yang terpelajar, dan mempunyai latarbelakang didikan agama yang baik disulami dengan peribadi sedemikian rupa? Tepuk dada tanyalah pada iman.

Mungkin disebabkan semangat yang membara untuk ke angkasa menggapai sang bintang membuatkan si Faizal agak ‘lupa diri’ atau ‘syok sendiri’ ketika mengadakan persembahan tersebut. Percaturan firasat yang disangkanya terbaik untuk peminat nyata tersasar dan meleset. Di kala diri diuja dan teruja, manusia memang selalu alpa di bumi mana dia berpijak, di dalam budaya mana dia dibesarkan dan yang paling penting, agama apa yang menjadi pegangan.

Namun, rata-rata di antara kita asyik menuding jari kepada si Faizal ini sahaja. Mungkin saat hukuman kuarantin ini merupakan satu fatrah terbaik untuknya menghisab diri. Siapa tahu? Allah itu Maha Luas kasihNya. Siapa di antara kita yang dapat meramal dengan tepat apa yang akan terjadi 6 bulan akan datang? 3 bulan yang bakal menyusul? 1 jam dari sekarang? Setengah minit lagi? Ingatlah, segala pengetahuan berada di dalam genggamanNya. Nasib kita pun belum tentu lagi bagaimana kesudahannya.

Bila akal menjadi veto

Sebuah masyarakat yang telah disogokkan dengan gejala hedonisme hanya melihat kepada tindakan luarbiasa si Faizal sahaja, sehinggakan tidak kelihatan salahnya pada penganjuran konsert itu sendiri secara total. Inilah yang berlaku sekarang. Kesan daripada agenda sekularisme yang akhirnya mengundang virus kepada masyarakat hasil percaturan musuh-musuh Allah yang berkuasa dan berleluasa di muka bumi ini. Bilamana masyarakat tidak memahami hakikat sebenar sebuah hiburan, tidak mendalami yang mana satu halal, yang mana satu haram, maka yang salah dianggap betul, yang luarbiasa menjadi biasa, yang lurus dianggap pincang, yang bengkok menjadi penunjuk. Hasilnya, gemuruh jiwa muda pun lantang mempertahankan fahaman dan pemahaman masing-masing. Atas dasar apa?

Kebejatan akhlak yang berlaku di kalangan artis lewat kini semakin menjadi-jadi. Jika diteliti aksi si Faizal ini, jika dia hanya membuka baju tanpa mendedahkan apa-apa yang di antara pusat dan lutut, maka auratnya masih terjaga. Namun, cuba pula kita lihat kepada artis-artis wanita yang sering menjadi pujaan ramai, terang-terang dengan tanpa segan silu mempertontonkan aurat masing-masing, tidak kiralah sama ada anak dara, mak dara, mak orang, isteri orang mahupun nenek orang. Sudah terang lagi bersuluh, sudah pendek lagi mahu digunting, begitulah ibaratnya. Apa denda untuk mereka atas aksi yang menentang arus perdana tuhan ini? Kerja amal? Digantung daripada melakukan persembahan? Diberi warning oleh pihak penaja? Dipulaukan oleh peminat? Dalam konteks ini, kasihan si Faizal…

Pengunaan akal semata-mata dalam memberi penilaian terhadap sesuatu perkara adalah tidak akan lengkap selamanya jika tidak disandarkan kepada hukum Allah. Akal berkaitrapat dengan emosi. Emosi yang tidak dilunaskan di atas aqidah Islam akan menemui kesesatan. Tidak suka dengan perbuatan membuka baju hanyalah datang dari emosi semata-mata. Sedangkan sebagai seorang muslim, perasaan suka/cinta atau tidak suka/benci terhadap sesuatu itu wajib disandarkan kepada aqidah Islam, iaitu mestilah mencintai dan membenci perbuatan seseorang kerana dia mentaati atau melanggar perintah Allah SWT. Inilah rosaknya pemikiran apabila adat dan budaya terlebih-lebih mendahului syara’ seperti arnab meninggalkan kura-kura.

Kerja amal vs konsert amal

Perkataan ‘amal’ sering disalah pakai penggunaannya oleh masyarakat. Hakikatnya, bukankah wujudnya amal kebaikan dan amal kejahatan di muka bumi ini? Berbeza nama, berbeza tindak-tanduk serta berbeza antara dosa dan pahala. Malangnya kini, kerja amal dihukum sebagai satu denda berbanding dengan konsert amal yang dianggap lebih mulia. Jika konsert tersebut memang bebas daripada sebarang bentuk maksiat dan perkara-perkara haram, maka ia memang mulia untuk menggembirakan hati orang berbanding kerja-kerja amal yang dibuat secara paksa dan atas nama denda. Tetapi itukah yang sebenarnya berlaku?

Jika dilihat kepada penganjuran sesebuah konsert di zaman ini, kesemuanya adalah berbentuk hiburan melalaikan semata-mata. Sebelum, semasa dan selepas konsert tersebut, maksiat berlaku di mana-mana, setiap masa. Anak-anak muda hilang arah, berpelukan, bercumbuan tanpa segan silu hingga akhirnya maruah diri dan keluarga tergadai. Persoalan asal berbalik kepada siapa yang bertanggungjawab memberi permit penganjuran konsert yang sedemikian rupa? Yang memberi permit biasanya orang tua, tetapi sasarannya adalah orang muda dan orang tua yang perasan muda lagi. Hai orang-orang tua zaman sekarang, apa nak jadi…

Beginilah nasib dunia kita sekarang. Dunia yang memang tua menjadi semakin tua bangka dengan jahiliyyah moden. Permit konsert bagaikan air, permit ceramah bagaikan ais. Ulama’ digam, kenyataannya diputar belit, fatwanya dipertikai. Akal dan nafsu memandu segalanya. Wahai sahabat-sahabat, ayuhlah bangkit, kesedaran semua diperlukan dalam usaha mengembalikan kegemilangan Islam yang pernah menakluk dunia suatu masa dahulu. Selamatkan keluarga kita, saudara kita, masyarakat kita daripada sebarang bentuk kebinasaan. Buang segala gemuruh jiwa mudamu yang selalu dibuai oleh perasaan yang melulu itu…

Say no to Jahiliyyah! Sayonara!

Disediakan oleh,

Farhatul ‘Aliaa Mohammed Toha


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Categories

%d bloggers like this: