Posted by: mppm.jo | July 12, 2008

Membudayakan Keadilan Islam

“Janganlah kebencian kamu terhadap suatu kaum menghalang kamu daripada berlaku adil. Berlaku adillah kerana ia lebih hampir kepada takwa”. ( Al-Maidah:8 )

Kezaliman dan keadilan, dua frasa yang saling berlawanan, umpama malam dan siang. Kita sedari, dunia kini ‘tenat’ untuk menyaksikan kezaliman yang tidak pernah pudar dan keadilan yang semakin sirna cahayanya. Di Amerika, sehingga penghujung abad ke-19, golongan kulit hitam masih dizalimi dan tidak mendapat hak asasi mereka. Sebagai contoh, dalam kes mahkamah Plessy v.Ferguson pada tahun 1986, mahkamah telah membenarkan pembinaan kemudahan awam yang berbeza antara golongan kulit hitam dan kulit putih.

Keadaan di Afrika Selatan semakin parah tatkala mengamalkan dasar apartheid sejak tahun 1948. Dasar ini mengagungkan golongan kulit putih berbanding kulit hitam walaupun peratus golongan kulit putih di Afrika Selatan hanyalah 13% berbanding dengan kaum lain. Dasar ini mula berubah pada tahun 1991 dan perubahan ini hanya terlaksana secara rasminya pada tahun 1994 apabila Nelson Mandela dilantik menjadi Presiden Afrika Selatan.

Sistem kehidupan makhluk yang tidak sejajar dengan acuan Pemilik tidak akan medatangkan kesejahteraan buat manusia. Contohnya di India, ajaran agama Hindu melahirkan sistem kasta yang membahagikan manusia kepada Brahman iaitu golongan sami dan ilmuan, Kshatriya iaitu golongan pentadbir dan pahlawan, Vaisya iaitu golongan seni dan saudagar serta Sudras iaitu golongan pekerja dan buruh. Manusia daripada kasta yang berbeza tidak boleh berkahwin antara satu sama lain. Lebih menjengkelkan lagi, golongan Paria yang berada pada kasta terendah, dianggap kotor dan keji. Maka, kerajaan India terpaksa mengharamkan sistem ini pada tahun 1949 bagi menghindari impak-impak yang negatif ke atas masyarakat.

Tatkala dunia mementingkan warna kulit, kasta, kabilah dan bangsa, Islam hadir dengan sistem sosialnya yang unik dan tersendiri. Bagi Islam, manusia mempunyai asal usul yang sama, hanya taqwa yang membezakan nilainya sebagaimana firman Allah dalam surah Al-Hujurat ayat 13, “Wahai manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang wanita dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenali. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah adalah orang yang paling bertaqwa“.

Dalam konteks bagi sesebuah negara, Allah mewajibkan setiap pemimpin berlaku adil ke atas rakyat jelata sebagaimana dalam surah An-Nisa’ ayat 58, “Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu supaya memberikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu menetapkan hukuman di antara manusia hendaklah kamu menetapkannya dengan adil“. Berhubung dengan ayat ini, sahabat Abdullah bin Abbas berkata, “Ayat ini diturunkan kepada para pemimpin agar mereka menunaikan amanah dalam perkara yang dipertanggungjawabkan berhubung dengan urusan rakyat mereka”. Pendapat ini disebutkan di dalam kitab Dalilul Falihin. Imam Qurtubi di dalam Al-Jamik li Ahkamil Quran pula berkata, “Ulama Islam berpendapat bahawa pemimpin-pemimpin mestilah terdiri daripada golongan yang adil, ihsan dan mulia. Mereka yang fasik dan zalim tidak layak digelar sebagai seorang pemimpin”.

Pemimpin Islam sewajarnya bersikap adil bukan sahaja terhadap orang Islam, malahan terhadap semua manusia termasuk golongan bukan Islam. Dalam sebuah hadis riwayat Imam Tabrani, Nabi SAW bersabda, “Jika kafir zimmi dianiaya, pemerintah negeri itu dianggap sebagai pemerintahan musuh”.

Sejarah kepimpinan Islam juga telah membuktikan, bahawa Khalifah Umar Al-Khattab pernah memarahi gabenor Islam di Mesir iaitu ‘Amru bin ‘As kerana memukul seorang Kristian Qibti. Khaifah Umar berkata, “Sejak bilakah kamu memperhambakan manusia, sedangkan ibunya melahirkannya sebagai seorang insan yang merdeka?”. Malah, semasa Khalifah Umar hampir meninggal dunia, beliau sempat berwasiat, “Aku berpesan kepada khalifah sesudahku supaya berlaku baik ke atas golongan kafir zimmi. Hendaklah menunaikan janji ke atas golongan bukan Islam dan berperang untuk melindungi mereka. Janganlah membebani mereka dengan sesuatu yang di luar kemampuan mereka”. Subhanallah, berapa ramaikah antara tokoh-tokoh pemimpin di dunia masa kini yang mempunyai nilai-nilai murni sebegini?

Konklusinya, keadilan hanya boleh dihayati oleh jiwa-jiwa yang takutkan Allah. Mereka sedar apabila mereka bertindak zalim, Allah akan memusnahkan mereka. Justeru, utamakan kebenaran, budayakan keadilan dan bukannya meninggikan kelompok, bangsa dan keturunan tertentu sahaja. Bayangkan diri kita sedang berdiri di atas sebuah pelantar yang di bawahnya terdapat suatu kolam yang dipenuhi air yang sedang mendidih. Seandainya kita berada di bahagian hujung pelantar, ia akan berat sebelah dan kita akan jatuh binasa. Kita hanya selamat apabila berada pada bahagian tengahnya. Itulah keadilan. Menurut Imam Muslim, Nabi SAW bersabda, “Sesungguhnya orang-orang yang berlaku adil akan diletakkan di atas mimbar-mimbar yang bercahaya (pada Hari Kiamat)”. Bersama-samalah kita berdoa, semoga pemimpin-pemimpin yang baru sahaja memenangi PRU-12 ini mengutamakan keadilan dalam mengorak pemerintahan di Malaysia Bumi Pertiwi, seiring dengan landasan Al-Quran dan As-Sunnah. Sesungguhnya, kemenangan yang diraih adalah suatu taklifan dan bukan tasyrifan. Wallahu A’lam.

Disediakan oleh,

Nurul Ain Samsuddin


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Categories

%d bloggers like this: