Posted by: mppm.jo | August 13, 2008

Dakwat, Isu Moral & Penipuan Di Musim Pilihanraya


Isu dakwat merupakan sebahagian dari isu besar yang sering ditimbulkan sebelum pilihanraya. Buat pengetahuan umum, isu ini telah di utarakan demi mengelak dari berlakunya pertindihan undi atau kata lainnya demi mengelak terjadinya pengundi mengundi lebih dari sekali. Istilah yang sering digunakan adalah “pengundi hantu”. Dakwat ini akan di calit atau mungkin ditandakan di jari pengundi. Ini bermaksud, kita akan dapat mengenali pengundi yang sudah membuang undi melalui kesan dakwat di jari mereka. Usul ini telah dipersetujui namun disaat akhir, persetujuan ini dibatalkan atas sebab tertentu.

Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan kaedah penggunaan tanda dakwat pada jari yang dicadangkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada pilihanraya umum dibolehkan dari segi hukum syarak.

Pengerusinya, Prof. Datuk Dr. Abdul Shukor Husin berkata, hasil analisis sampel dakwat oleh sepasukan pakar dari Jabatan Kimia dan Bahagian Proses Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapati dakwat tersebut tidak mengandungi sebarang unsur najis. Beliau berkata, dakwat yang tidak dapat dipadamkan itu juga bersifat telap air dan tidak mendatangkan sebarang mudarat sekiranya dicelup pada tangan atau kuku.
“Dakwat itu tidak membabitkan hukum atau fatwa baru tetapi kita melihat dari segi sama ada ia boleh menghalang umat Islam daripada mengambil wuduk.”

‘‘Jadi terpulang kepada SPR untuk menggunakan dakwat itu dalam pilihan raya kerana hasil analisis sampel dakwat yang dibentangkan kepada kita menunjukkan tiada sebarang halangan dan keraguan dari segi hukum,” kata Abdul Shukor kepada pemberita selepas mempengerusikan Muzakarah Khas Majlis Fatwa Kebangsaan mengenai penggunaan dakwat itu di sini hari ini.

Perkara itu adalah antara pembaharuan yang ingin diperkenalkan oleh SPR dalam pilihan raya umum ke-12 selain mencadangkan penggunaan peti undi lut sinar menggantikan peti undi hitam yang digunakan sejak 1955.

Menurut Abdul Shukor, JAKIM selaku urusetia muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan akan memaklumkan serta-merta keputusan rasmi mengenai hukum penggunaan dakwat itu kepada SPR. Ditanya berapa lama tempoh dakwat itu melekat pada jari sebelum dapat dipadamkan, beliau berkata, ia boleh bertahan sehingga dua atau tiga hari bergantung kepada individu yang menggunakannya

Dalam bab seumpama ini, setelah diyakini ia : –
a) tiada unsur najis
b) tidak mengganggu wudhu
c) dapat memberikan sedikit jaminan tambahan kepada keadilan dalam proses pilihanraya.

Maka menurut pendapat Us Zaharuddin Abd Rahman (penulis asal artikel ini),”bagi menepati roh dan kehendak hukum Islam ia sudah menjadi satu perkara yang dituntut dan bukan hanya tergolong dalam jenis perkara terpulang untuk lakukan atau tidak”. Justeru, ia adalah suatu perkara yang tergolong dalam kategori KEMESTIAN bagi SPR untuk melaksanakannya demi mencapai Maqasid Syariah iaitu kesaksamaan dan ketenteraman jiwa rakyat dari semua pihak.

Ma’ani yang dimaksudkan di sini menurut sebahagian ulama adalah hikmah dan kebaikannya dari sebuah hukum atau ketetapan, kesimpulannya merangkumi maksud ‘maslahah’ atau kepentingan yang tiada percanggahan dengan hukum yang lain. (Al-Bahrul Muhit, Az-Zarkasyi, 5/119 ; Nazariyat al-Maqasid, hlm 26 )

Jika ditinjau dari perspektif kaedah ini, maka aplikasi kaedah mencelup jari tadi adalah amat wajar dan sangat diperlukan bagi menjaga maslahah semua pihak dan menjamin keadilan serta mengelakkan penipuan. Malah, pada hemat saya, boleh dianggap hukumnya ketika ini sebagai wajib. Wallahu’alam
Telah diwartakan bahawa penggunaan dakwat untuk pembuangan undi pada 8 Mac 2008 ini dibatalkan. Sebelum ini, isu ini dibincangkan sebaiknya di peringkat Majlis Fatwa Kebangsaan dan diputuskan sebagai harus, dan kini ia dibatalkan atas alasan terdapat individu yang dilaporkan membeli dakwat ini secara haram dari negara luar dan berniat membuat kacau.

Akibat dari laporan tersebut, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah mengambil keputusan membatalkan penggunaannya. Ramai yang menunggu-menunggu gambar mereka yang terlibat ditangkap kerana membuat laporan dan seterusnya disiarkan di televisyen atau media, namun setakat yang dimaklumkan,masih tiada tangkapan specific dibuat. Hanya gambar dakwat yang disiarkan. Terfikir juga, mengapa ISA tidak digunakan kepada mereka yang membeli dakwat itu sebagaimana kebiasaannya dalam kes-kes yang mengancam keselamatan negara. Namun, tiada jawapan tepat yang ditemui.

Tidak dapat dinafikan, ramai yang sebenarnya merasa seronok dan tidak sabar untuk mengundi menggunakan dakwat, inilah kiranya sejarah baru dalam politik tanah air serta komitmen yang baik bagi menjamin keyakinan pengundi terhadap proses pilihanraya. Namun, nampaknya terkubur sahaja harapan itu disamping banyak juga di dengari luahan rakyat di sekitar kita, ada yang terkilan dan ada juga yang tidak yakin, ada yang bersyukur dan lega dan pelbagai-bagai lagi.

Seorang profesor di UIAM pula berkata ” Iyshh, betul-betul membazir, bukankah sudah dibeli dakwat tu”.. Namun di sebalik semua ini pasti ada hikmah yang mungkin kita tidak sedari. Begitulah madah untuk menenangkan hati atas kejadian ini.

Mafrel Tarik Diri

Hasil dari pembatalan tersebut badan pemantau pilihanraya yang diiktiraf oleh SPR iaitu Malaysians for Free and Fair Election (Mafrel), telah bergolak sehingga beberapa pemimpinnya menarik diri.

Abd Malek Hussain, pengerusi Mafrel dengan tegas menyatakan bahawa Mafrel tidak dapat menerima kehadiran pemerhati-pemerhatinya yang ditauliahkan SPR untuk memerhatikan urusan pengundian di tempat-tempat mengundi pada pilihan raya ini dalam keadaan untuk mengiyakan suatu keputusan yang pasti menjejaskan kredibiliti dan integriti Mafrel. Abdul Malek Hussain juga berkata Mafrel memandang berat keputusan tersebut memandangkan penggunaan dakwat kekal pada jari pengundi amat berguna dan berkesan untuk mencegah perbuatan penyamaran serta pengundian berganda yang jelas bertentangan dengan seksyen 7, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Berdasarkan pengalaman Mafrel melalui misi pemerhatian pilihan raya peringkat antarabangsa khasnya di Indonesia, Filipina malahan Afghanistan, penggunaan dakwat kekal tersebut diperakui masyarakat antarabangsa sebagai salah satu langkah yang berkesan untuk mencegah amalan penyamaran dan pengundian berganda,” kata beliau dalam sidang media.

Tambah beliau, berdasarkan pengamatan Mafrel, pilihan raya umum ke-12 ini akan terdedah kepada gejala penyamaran dan pengundian berganda yang hanya boleh ditangani secara jangka pendek dengan penggunaan dakwat kekal pada jari pengundi.

Beliau juga berkata pembatalan penggunaan dakwat kekal itu mendedahkan suasana yang tidak kondusif kepada perjalanan proses pilihan raya yang seharusnya menepati prinsip-prinsip dan amalan pilihan raya yang bebas dan adil yang diiktiraf dunia.

Dengan itu, Abdul Malek Hussain berkata Mafrel membantah sekeras-kerasnya keputusan pembatalan tersebut dan menegaskan bahawa Mafrel tidak akan mengiyakan satu keputusan yang nyata bertentangan dengan rekomendasi nombor 12 dan 13 yang terkandung dalam ‘Final Report in Election Observation of 2007 by-elections’ bersabit dengan penggunaan dakwat kekal yang telah dikemukakan Mafrel kepada SPR sebagai sebahagian dari syarat-syarat pemerhatian pilihan raya Mafrel yang diiktiraf SPR bagi pilihan raya kecil N8 Machap, Melaka dan N11 Ijok pada 2007 lalu

Masalah Orang Malaysia

Jika apa yang dilaporkan adalah tepat dan benar, maka Malaysia menghadapi kedudukan rakyat yang lebih teruk dan kurang bermoral berbanding Indonesia, Filipina, Afghanistan yang dinyatakan oleh Mafrel menggunakan dakwat yang sama. Negara yang bergolak seperti itu pun rakyatnya masih boleh ditangani agar tidak melakukan sebarang penipuan apabila menggunakan dakwat namun agak menyedihkan apabila kita di Malaysia gagal menggunakan sistem ini.

Di musim pilihanraya ini pelbagai jenis penipuan dan pembohongan dapat dilihat dengan jelas, wajah-wajah sebenar orang terdesak untuk menutup kelemahan dan kejahatan masing-masing juga tampak kelihatan. Hingga penipuan dan pembohongan dijadikan bahan untuk memastikan kuasa diperolehi dan menjalankan agenda masing-masing.

Hakikatnya mereka telah tertipu dengan kenikmatan sementara kuasa dan harta.
Bagi Yang Rasa Tertipu, Sengaja Menipu & Benar-benar ditipu
Bagi yang rasa tertipu, sengaja menipu & benar-benar ditipu, kembalikanlah ingatan kepada apa yang disebut oleh Allah yang maha berkuasa. Allah swt telah mengingatkan kita agar menyakini :

إِن تَمْسَسْكُمْ حَسَنَةٌ تَسُؤْهُمْ وَإِن تُصِبْكُمْ سَيِّئَةٌ يَفْرَحُواْ بِهَا وَإِن تَصْبِرُواْ وَتَتَّقُواْ لاَ يَضُرُّكُمْ كَيْدُهُمْ شَيْئًا إِنَّ اللّهَ بِمَا
يَعْمَلُونَ مُحِيطٌ
Ertinya : Jika kamu memperoleh kebaikan, niscaya mereka bersedih hati, tetapi jika kamu mendapat bencana, mereka bergembira karenanya. Jika kamu bersabar dan bertakwa, niscaya TIPU daya mereka sedikit pun tidak mendatangkan kemudaratan kepadamu. Sesungguhnya Allah mengetahui segala apa yang mereka kerjakan ( Al-Imran : 120)

Juga ingatan lainnya :

وَاصْبِرْ وَمَا صَبْرُكَ إِلاَّ بِاللّهِ وَلاَ تَحْزَنْ عَلَيْهِمْ وَلاَ تَكُ فِي ضَيْقٍ مِّمَّا يَمْكُرُونَ
Ertinya : Bersabarlah (hai Muhammad) dan tiadalah kesabaranmu itu melainkan dengan pertolongan Allah dan janganlah kamu bersedih hati terhadap kejahatan mereka dan janganlah kamu bersempit dada terhadap apa yang mereka TIPU DAYAkan ( AN-Nahl : 27)

Lebih hebat dari itu, Allah juga menyatakan bahawa

وَلَا يَحِيقُ الْمَكْرُ السَّيِّئُ إِلَّا بِأَهْلِهِ
Ertinya : “Tidaklah tipu daya jahat itu kecuali akan kembali kembali pembuatnya” ( Fatiir : 43)
Perlu diyakini, sebarang kemenangan secara penipuan hanya merupakan cara Allah membalas dan mempergandakan dosa mereka yang menang, ia ibarat istidraj yang diberikan Allah kepada si penjahat untuk membiarkannya terus jahat (atas pilihannya sendiri) dan di akhirat amat layak mendapat murka Allah.

Apa yang penting, bagi mereka yang yakin sedang memperjuangkan kebenaran harus bergantung lebih kepada Allah dari diri mereka sendiri, sudah tentu semuanya wajib berusaha tetapi usaha mereka tidak akan kesampaian tanpa bantuan Allah, dan bantuan Allah memerlukan mereka yang berjuang itu ikhlas serta sentiasa memperbaiki dirinya. Hanya dengan itu, bantuan Allah dan kemaqbulan doa akan tiba. Namun, jika ada yang berpuasa sunat, berdoa dan bertahajjud untuk mencapai kemenangan yang diyakini benar untuk agama Allah, tetapi dalam waktu yang sama juga turut tidak insaf dan terus menerus melakukan dosa yang sama seperti orang lain, sebagai contoh memakan riba, menipu dan lain-lain dalam kehidupan peribadinya. Amat sukarlah doanya dimaqbulkan Allah. Perjuangannya akan gagal buat sementara waktu bagi membolehkan koreksi diri dilakukan lagi. Malah jika menang dalam keadaan berdosa, fitnah harta dan pangkat pastinya akan menewaskan individu ini, hingga akhirnya menyusahkannya di dunia dan akhirat.

Sabda Nabi saw :-
يا غُلَامُ إني أُعَلِّمُكَ كَلِمَاتٍ احْفَظْ اللَّهَ يَحْفَظْكَ احْفَظْ اللَّهَ تَجِدْهُ تُجَاهَكَ إذا سَأَلْتَ فَاسْأَلْ اللَّهَ وإذا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بِاللَّهِ وَاعْلَمْ أَنَّ الْأُمَّةَ لو اجْتَمَعَتْ على أَنْ يَنْفَعُوكَ بِشَيْءٍ لم يَنْفَعُوكَ إلا بِشَيْءٍ قد كَتَبَهُ الله لك وَلَوْ اجْتَمَعُوا على أَنْ يَضُرُّوكَ بِشَيْءٍ لم يَضُرُّوكَ إلا بِشَيْءٍ قد كَتَبَهُ الله عَلَيْكَ

Ertinya: wahai pemuda.., sesungguhnya aku ingin memberitahu beberapa kalimah penting.”Jagalah Allah (suruhan dan larangannya) nescaya Allah akan sentiasa menjagamu dan akan kamu dapatiNya bersamamu, dan apabila kamu meminta, mintalah bantuan dari Allah, dan KETAHUILAH, sekiranya seluruh umat ini bersatu untuk memberi manfaat kepadamu, nescaya mereka tidak akan mampu memberi manfaat kepadamu walaupun sedikitpun kecuali apa-apa yang telah Allah tuliskan bagimu (sebagai manfaat yang akan diperolehi), dan JIKA SEMUA mereka bersatu memudaratkanmu, tidak akan jatuh kamu dalam sebarang mudarat kecuali apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah akan menimpamu..” (Riwayat At-Tirmidzi, 4/667; Hasan Sohih)

Moga Allah membalas segala jenis penipuan pilihanraya dan lainnya dengan segera di dunia lagi kepada sipembuatnya agar mereka mampu sedar dari keasyikan hasil dodoian syaitan laknatullah dan akhirnya bertaubat dan mati di dalam keampunan Allah SWT. Segala yang baik dari saya berpunca dari Allah lambang kekuasaanNya. Segala yang buruk dari saya juga dari Allah, tapi disandarkan pada saya, membuktikan kekerdilan saya sebagai hambaNya.

(Oleh : Amienah Ridzwan @ Ridz)


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Categories

%d bloggers like this: