Posted by: mppm.jo | August 13, 2008

Hati Tok turut sakit

Tiada siapa menjangkakan Tok Mun akan menang pilihan raya ini. Namun keupayaannya untuk kekal sihat dan bertenaga pada usia 89 tahun, di samping minatnya untuk ikut serta dalam politik tanah air, sememangnya mengagumkan.

NAMANYA ialah Maimun Yusuf, berusia 89 tahun. Nenek ini sukar mengeja dengan betul namanya sendiri, apatah lagi membaca manifesto pilihan raya. Selama bertahun-tahun Maimun cuba belajar membaca dan hasilnya kata beliau: “Tok boleh menulis dan mengira sikit-sikit.”

Ironinya, beliau menjadi calon bebas pada Pilihan Raya Umum Ke-12, bertanding di kawasan Parlimen Kuala Terengganu. Lawannya ialah calon Barisan Nasional, Datuk Razali Ismail, 59, dan Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu, 54.

Kedua-duanya bukan calang-calang orang, kecuali Maimun telah ‘lebih dulu makan garam’. Maimun juga menggunakan gambar kunci sebagai lambang ‘parti’.

Selebihnya, Maimun sekadar bekerja menjual kain dengan mengayuh basikal dari rumah ke rumah di sekitar Kampung Gong Gemia, Jalan Pasir Panjang, Kuala Terengganu.

Sejak sah menjadi calon pilihan raya, 24 Februari lalu, kediamannya – sebuah rumah usang tanpa perabot yang disewa RM60 sebulan, tidak putus-putus dikunjungi orang. Keputusannya untuk bertanding mengejutkan banyak pihak. Namun ini bukanlah kali pertama beliau mencuba.

Sebelum ini, sudah empat Pilihan Raya Umum Maimun mengemukakan borang penamaan calon, namun ditolak oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Tahun ini merupakan kali kelima beliau cuba menjadi calon dan berjaya.

“Tok salah eja nama, pencadang tok bukan dari kawasan parlimen yang sama dan beberapa lagi. Mungkin juga mereka (SPR) tidak membenarkan tok bertanding kerana tidak mahu tok hilang wang deposit.” Untuk melayakkan beliau bertanding kerusi Parlimen, Maimun perlu membayar wang deposit sebanyak RM10,000.

“Cuba kira, kalau tok simpan 50 sen atau RM1 sehari, berapa banyak wang tok di dalam bank?,” katanya dalam loghat pekat Terengganu. Menurut Maimun, beliau sudah mula mengumpul wang sejak 20 tahun lalu.
Selain itu, banyak lagi wangnya yang terpaksa dihabiskan untuk kempen bagi mendapat sokongan pengundi Kuala Terengganu pada hari pembuangan undi, 8 Mac ini.

Katanya, wang boleh dicari selagi beliau mampu bekerja. Beliau telah menunai ibadat haji pada tahun 2001, juga dengan wang simpanan hasil beliau bekerja selama ini.

Cekalnya hati nenek yang selesa dipanggil Tok Mun ini memang tidak dijangka ramai orang. Usia tua juga bukan penghalang untuk beliau melancarkan kempen meraih undi dengan caranya sendiri, biarpun tidak serancak yang dilakukan oleh calon-calon lain. Sekalipun terpaksa menebalkan muka berkempen dari rumah ke rumah, yang ada antaranya tidak membenarkan beliau masuk, Maimun tetap dengan tekadnya itu.
Walaupun selepas mendengar suara-suara sinis yang mempersendakan usahanya, Maimun tidak putus asa kerana menganggap itu sebahagian cabaran yang perlu ditempuhi.

“Bila dah sekali harung biarlah basah.”

Itulah prinsip yang dipegang Maimun yang benar-benar serius ingin menjadi wakil rakyat.

Hari-hari yang dilaluinya biasa saja. Beliau bangun pukul 3 pagi, bersembahyang sunat dan membaca al-Quran sementara menunggu waktu Subuh. “Kalau larat tok akan berjalan ke masjid untuk sembahyang.
“Tok suka makan nasi goreng waktu sarapan kerana ia senang. Kadang-kadang tok buat cenkodok dan lempeng.”

Semasa keluar menjual songket dan berkempen, beliau jarang makan tengah hari. Makan malamnya berhidangkan ayam atau ikan goreng, atau sayur sahaja. Sebagai penutup hari, sekali lagi kaki tuanya diheret untuk sembahyang Isyak di masjid.

Penulis yang berkesempatan bertemu calon warga emas ini beberapa kali turut kagum dengan keazamannya.
Mana tidaknya, pada usia yang hampir mencecah satu abad, beliau masih kuat mengayuh basikal yang dibelinya lima tahun lalu untuk bergerak ke sana sini.

Ramai warga emas lain mungkin tidak sekuat Maimun yang masih mampu mengayuh sejauh 10 kilometer sehingga ke Kampung Atas Tol untuk menjenguk rumah pusakanya setiap hujung minggu.

Rahsianya? Menurut Maimun, beliau menjaga pemakanannya sejak muda lagi dan jarang sekali dia membeli makanan yang siap dimasak kerana tidak yakin dengan cara penyediaannya.

Ini kerana pelbagai perisa makanan yang terdapat di pasaran mengandungi bahan-bahan yang boleh memudaratkan kesihatan. Menurutnya, beliau akan menumbuk rempah yang akan digunakan dalam apa juga jenis masakan dengan lesung batu selain mengamalkan makan jamu untuk kesihatan.
“Dekat 10 tahun dah tok amalkan makan jamu, tok beli sendiri bahan-bahan dan upah orang untuk buat jamu. Selain untuk makan sendiri, tok jual juga sambil jual kain,” katanya.

Selain itu, ujarnya, banyak bekerja sejak muda lagi memastikan beliau berasa sihat. Maimun mengaku tidak pernah mengalami sakit yang teruk melainkan demam-demam biasa.

Menceritakan bagaimana beliau boleh terlibat dengan politik, Maimun memberitahu beliau ingin menjadi seorang pemimpin. Sebab utama katanya, kerana mahu memimpin dan mengubah apa sahaja yang dirasakan tidak betul yang telah dilakukan oleh pelbagai pihak sebelum ini.
“Setiap kali tengok pokok ditebang, hasil bumi dikaut sesuka hati, bukit disodok (diratakan), hati tok turut sakit,” kata Tok Mun menerangkan asas perjuangannya.

Menurut Maimun, biarpun beliau tidak pandai membaca dan menulis, ia bukan halangan untuknya menjadi pemimpin. Beliau juga berhasrat untuk mengupah seorang pemandu yang akan memudahkannya bergerak kerana percaya rutinnya akan lebih sibuk sekiranya menang nanti. Menutup perbualan kami, Maimun memberitahu beliau amat berharap boleh menang. Namun ia masih bergantung kepada sokongan pengundi.
“Setakat ini ramai yang cakap nak sokong, nak undi tetapi isi hati orang kita tidak tahu,” katanya yang masih tidak pasti sama ada untuk bertanding lagi pada pilihan raya akan datang sekiranya gagal kali ini.


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Categories

%d bloggers like this: