Posted by: mppm.jo | August 13, 2008

Pentingnya Pemerhati di dalam sesebuah Pilihanraya

Oleh : Mohd Shahrul Bin Shahrom
Presiden PPMA 2007/2008

Baru-baru ini, kita digemparkan dengan beberapa perhimpunan aman secara besar-besaran yang dianjurkan oleh beberapa pertubuhan di negara kita. Antara yang mendapat liputan hebat di media antarabangsa dan Malaysia adalah perhimpunan BERSIH pada 10 November 2007. Tujuan perhimpunan itu diadakan adalah bagi menyerahkan memorandum rakyat kepada Yang di-Pertuan Agung. BERSIH adalah sebuah jawatankuasa gabungan yang terdiri daripada organisasi-organisasi masyarakat sivil dan parti-parti politik dengan matlamat utama untuk memperjuangkan pilihanraya yang bebas dan adil di Malaysia. Pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan kerajaan pula menafikan, dan mengatakan bahawa sistem pilihanraya di Malaysia berjalan dengan baik, bebas dan adil.

Maka berlakulah cabar mencabar antara tiga pihak. Sehinggalah Perdana Menteri sendiri di dalam Perhimpunan Agung Umno berkata “ SAYA PANTANG DICABAR ” terhadap perhimpunan 100 000 rakyat yang dianjurkan oleh BERSIH. Manakala Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid pula mengatakan bahawa beliau sedia meletakkan jawatan, sekiranya terdapat penipuan terhadap perjalananan sistem pilihanraya dan ianya mestilah dibuktikan oleh pihak mahkamah. Pihak BERSIH pula mencabar Pengerusi SPR supaya bersumpah dengan cara Islam bahawa beliau tidak sedikit pun membantu Barisan Nasional (BN) untuk mencapai kemenangan. Keadaan ini berlarutan sehinggalah berlaku penangkapan terhadap penyokong-penyokong BERSIH ketika perhimpunan.

Bagi saya, keadaan sebegini boleh diatasi, jika pihak kerajaan menubuhkan sebuah pemerhati bebas atau memanggil pemerhati luar negara bagi memantau sistem perjalanan pilihanraya di negara kita. Dengan tertubuhnya pemerhati pilihanraya, maka tuduh menuduh, cabar mencabar, rasa tidak puas hati, pemberontakan dan penangkapan boleh dielakkan. Keadaan yang keruh boleh dijernihkan. Kita juga mengharapkan sebuah masyarakat madani yang harmoni, yang selari dengan apa yang dilaung-laungkan oleh kerajaan.

Jika kita lihat dari sudut agama, syariat Islam telah memberikan berbagai-bagai contoh teladan yang ideal kepada kaum muslimin dalam pelaksanaan amal ibadat di dalam kehidupan kita seharian. Tujuannya adalah agar kita memperhatikannya dan berusaha untuk mencapainya dengan sepenuh hati dan sepenuh usaha. Mungkin apa yang boleh saya kaitkan berkenaan dengan artikel ini adalah pentingnya saksi di dalam Islam . Sebagai contoh, penggunaan saksi di dalam akad nikah. Islam telah mewajibkan saksi sebagai syarat sah akad nikah adalah bertujuan bagi memastikan kesahihan akad nikah tersebut. Dalam konteks perbicaraan pula, Islam telah mewajibkan perlu adanya saksi-saksi yang adil sebagai kayu pengukur samada seseorang itu bersalah atau pun tidak. Mungkin juga kita terlupa bahawa setiap diri manusia mempunyai saksi tersendiri iaitu raqib dan aa’tib, yang memerhati dan menulis dosa pahala kita. Kita juga perlu ingat di akhirat nanti anggota badan kita menjadi saksi apa yang kita lakukan di dunia ini.
Apa yang boleh saya katakan di sini adalah betapa pentingnya peranan saksi atau pemerhati di dalam apa jua yang kita lakukan agar tidak menjadi fitnah dan masalah di dalam kehidupan kita di dunia ini. Apatah lagi penggunaan pemerhati ataupun saksi di dalam sesebuah pilihanraya, samada pilihanraya persatuan, kelab, organisasi dan negara. Dengan adanya saksi, masalah-masalah di atas boleh diselesaikan dengan mudah. Pemerhati boleh memainkan peranan sebagai hakim dengan menentukan sesebuah pilihanraya itu telus ataupun tidak dengan mengemukakan bukti-bukti yang mereka perolehi. Jika ada pihak-pihak yang tidak berpuas hati dengan sistem perjalanan pilihanraya, pemerhati boleh mengemukakan laporan atau bukti-bukti perjalanan sesebuah pilihanraya itu, bagi menyelesaikan dan seterusnya menutup tuduhan-tuduhan pihak-pihak luar yang mengatakan sesuatu perjalan pilihanraya itu adil mahupun tidak.

Dari apa yang kita dengar dan tahu, pelbagai isu sudah diketengahkan oleh banyak pihak tentang ketidak telusan perjalanan sistem pilihanraya di negara kita. Tetapi setakat ini tidak ada satupun langkah-langkah yang diambil oleh pihak kerajaan dan SPR bagi membenteras keadaan sebegini terus berlaku, bahkan pihak kerajaan mengatakan perjalanan pilihanraya di negara kita berjalan dengan adil dan telus dan tidak perlu kepada pemerhati luar bagi menilai sistem perjalanan pilihanraya di negara kita. Oleh itu jika betul-betul pihak SPR telus mengendalikan pilihanraya, mengapa masih ramai yang mempertikainya, dan mengapa tidak saja memanggil pemerhati luar bagi menutup isu-isu yang diketengahkan oleh pelbagai pihak.

Sebagai penutupnya saya sekali lagi menegaskan supaya pemerhati luar dapat dilantik bagi menjadi saksi terhadap perjalanan pilihanraya di Malaysia yang akan datang. Kita tidak mahu melihat rakyat dikelirukan oleh kedua-dua belah pihak kerana kebenaran itu hanya boleh dibuktikan.


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Categories

%d bloggers like this: