Posted by: mppm.jo | August 13, 2008

Rakyat Berjiwa Pemimpin

Oleh : Mohamad bin Mohsin

Sejarah telah membuktikan rakyat sebenarnya menyintai pemimpin yang berjiwa rakyat. Sesiapa yang menjadi pemimpin dan menunjukkan lagak seperti rakyat akan terus disokong. Buktinya rakyat Malaysia sering melaung-melaungkan slogan pemimpin berjiwa rakyat.Mereka menuntut pemimpin mereka sentiasa mendampingi rakyat. Mereka mahukan pemimpin mereka yang setidur dan semakan bersama-sama.Mereka juga seolah-olah kecewa apabila pemimpin yang mereka harap-harapkan menghilang setelah memenangi pilihanraya. Isu ini seringkali timbul apabila menjelang pilihanraya. Ketika pilihanrayalah wajah pemimpin kesayangan turun padang memancing undi. Ketika itulah mangsa banjir ditolong, majlis gotong-royong diadakan, anak kecil didokong calon bertanding dan bermacam-macam ragam dapat disaksikan. Maka saat itulah semua janji ditaburkan untuk memastikan kemenangan terus berpihak kepadanya. Persoalannya, sampai bilakah rakyat mahu menuntut pemimpin sebegitu? Dan sampai bilakah rakyat hendak dipermainkan dengan taktik yang tidak adil seperti itu?

Hakikatnya rakyat Malaysia seperti tidak sedar akan fenomena ini. Mudah sahaja terpedaya dengan pujuk rayu dan pancingan bakal “YB” yang menunjukkan sikap berjiwa rakyat. Sekarang ini bukanlah masanya untuk kita menuntut seorang pemimpin yang berjiwa rakyat. Apa yang lebih penting adalah usaha untuk menerapkan slogan baru iaitu “Rakyat Berjiwa Pemimpin”. Kita perlu mengejar dunia realiti. Mengharapkan seorang pemimpin yang berjiwa rakyat. Sekarang ini adalah dunia fantasi. Slogan baru ini sebenarnya bertepatan dengan seruan dan kehendak kerajaan untuk membina minda kelas pertama. Saya merasakan minda kelas pertama yang diidamkan oleh Perdana Menteri kita adalah minda seorang pemimpin. Belanjawan negara tahun 2008 yang bertemakan “Bersama Membina Negara dan Menikmati Kemakmuran” juga bertepatan dengan slogan ini. Kerajaan kelihatan sedang berusaha keras untuk meningkatkan modal insan rakyat apabila mengumumkan peruntukkan wang sebanyak RM 15.6 bilion untuk sektor pembangunan sosial yang merangkumi bidang pendidikan, kesihatan dan perumahan.

Antara fokus utama yang perlu diberi perhatian adalah keupayaan rakyat untuk melonjak dan menolak diri untuk menjiwai kepimpinan. Rakyat ibarat selesa dengan kedudukan yang dimiliki sekarang dengan syarat makan, pakaian dan tempat tidur terjamin. Rakyat perlu diransang mentalitinya supaya memperjuangkan kesedaran. Oleh itu, kita memerlukan rakyat yang berjiwa pemimpin untuk menggerakkan kesedaran rakyat. Tun Dr Mahathir menunjukkan sikap rakyat berjiwa pemimpin apabila pada pilihan raya tahun 1959 beliau mencadangkan beberapa kriteria calon yang layak bertanding walaupun beliau mendapat kritikan yang cukup hebat berkaitan cadangan itu. Tuan Guru Nik Abd Aziz pula dari seorang guru biasa tetapi mula menceburkan diri dalam dunia kepimpinan seterusnya menjadi antara pemimpin yang disegani kawan dan lawan. Khairy Jamaluddin juga seperti membuktikan dirinya seorang rakyat yang berjiwa pemimpin dengan kesungguhannya memperjuangkan maruah bola sepak negara melalui program reality MyTeam. Mereka semua telah membuktikan pada kita bahawasanya rakyat yang berjiwa pemimpin mampu menggerakkan kesedaran dan membentuk perubahan.

Rakyat berjiwa pemimpin adalah satu konsep untuk membentuk golongan rakyat supaya memiliki daya kepimpinan. Semua manusia mempunyai daya kepimpinan seperti yang dijelaskan oleh hadis Nabi SAW “Kamu semua adalah pemimpin”. Permasalahannya adalah sama ada cahaya kepimpinan itu bersinar atau tidak? Rakyat tidak boleh dipandang sekadar golongan bawahan, kelompok penerima arahan, dan juga kumpulan pelaksana rancangan. Mentaliti ini perlulah dipecahkan. Rakyat mestilah dijana pemikirannya untuk keluar dari zon selesa. Rakyat juga berhak untuk menjadi golongan pemberi arahan dan kelompok membentuk perancangan. Oleh itu, semangat inkuiri yang tinggi perlulah ditanam dalam diri rakyat. Rakyat seharusnya mempunyai kehendak untuk mengetahui setiap perkara yang terjadi. Kebiasaannya apabila berlaku sebarang masalah, pemimpin akan menggesa orang bawahannya untuk menyediakan laporan lengkap. Tetapi sedarkah rakyat bahawa mereka juga berhak berbuat demikan dengan meminta laporan dari pemimpin. Mintalah penjelasan dengan lengkap. Sebarang keputusan kabinet perlulah diberi penjelasan dengan panjang lebar dan relevan.

Antara sikap lain yang perlu ditekankan adalah kebolehan menyuarakan pandangan dengan bijak dan berani. Kita selalu mengharapkan pemimpin negara bijak menyuarakan pandangan. Sepatutnya kita juga perlu mengharapkan golongan rakyat yang mampu bersuara dengan bijak dan berani. Setiap pandangan yang bijak sepatutnya didasari dengan hujah yang kuat. Contohnya dalam isu menurunkan harga minyak. Pihak Barisan Alternatif (BA) bersungguh-sungguh mengatakan harga minyak boleh diturunkan. Kekayaan negara masih mampu untuk menanggung subsidi minyak. Manakala Barisan Nasional pula mengatakan negara akan bankrap sekiranya harga minyak diturunkan. Kedua-dua meraka hanya memberi pendapat tanpa mendatangkan bukti yang kuat. Bagi pihak BA sekiranya negara mampu menanggung subsidi minyak nyatakan dalam perangkaan. Berapakah keuntungan tahunan negara? Berapakah wang yang akan dibelanjakan semata-mata untuk subsidi minyak? Sampai bila kerajaan boleh menanggung subsidi? Apakah langkah-langkah yang wajar diambil bagi menampung keperluan itu? Bagi pihak BN pula nyatakan sebab-sebab mengapa negara boleh bankrap dengan menurunkan harga minyak? Adakah keuntungan yang diperolehi oleh PETRONAS setiap kali kenaikan harga minyak tidak mampu menanggung kos subsidi? Adakah negara sudah tiada hasil lain sekiranya harga minyak diturunkan? Semua itu melambangkan kebijaksanaan pemimpin menyuarakan pandangan kerana sampai sekarang tiada satupun pemimpin dari BN ataupun BA memberikan penjelasan dengan bijak dan tepat.

Jiwa kepimpinan yang seterusnya adalah sikap suka mempengaruhi tetapi sukar dipengaruhi. Pemimpin yang berwibawa akan mencipta pengaruh. Rakyat juga perlu bersikap demikian. Tuntutan rakyat perlu disuarakan dengan penuh berpengaruh sehingga pemimpin kita dengar dan terpengaruh untuk melaksanakan permintaan tersebut. Rakyat juga janganlah mudah terpengaruh dengan setiap bicara pemimpin. Kata-kata pemimpin kebiasaannya manis didengar. Tidak mudah terpengaruh dalam erti kata menerima pendapat pemimpin setelah dilakukan penelitian dan analisis. Rakyat perlulah bijak dalam menerima berita dan maklumat. Semua berita perlulah dikumpul sebanyak mungkin dari semua pihak. Kemudiannya rakyat sendirilah yang menilai baik buruk pandangan tersebut. Jangan biarkan pemimpin kita membayangi setiap keputusan yang kita buat. Sedarlah sebenarnya rakyat juga mampu berfikir seperti yang difikirkan oleh pemimpin kita bahkan kadang-kadang pemikiran rakyat sebenarnya lebih tajam dari pemimpin.

Sebagai penutupnya, marilah kita bersama-sama meningkatkan kualiti kita sebagai seorang rakyat. Kita sebenarnya sedang membina negara sekiranya menjadi seorang rakyat berjiwa pemimpin. Kebiasaannya manusia mempersoalkan kualiti kepimpinan. Tetapi mengapakah tiada orang yang mempersoalkan kualiti kerakyatan. Sikap kita menunjukkan kita sedang meletakkan masa depan negara hanya ditangan pemimpin semata-mata. Kehancuran negara juga adalah tanggungjawab kita. Kita juga berhak membentuk acuan negara. Slogan rakyat berjiwa pemimpin perlulah diterapkan secara berperingkat dan berterusan untuk menjamin masa depan negara. Negara akan terus maju sekiranya kualiti kerakyatan mampu ditingkatkan. Ke Arah Pembentukan Pemikiran Mahasiswa Islam.


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Categories

%d bloggers like this: