Posted by: mppm.jo | August 13, 2008

Tsunami PRU 12: Antara Kejutan dan Masa Depan Politik Negara

Oleh : Muhammad Shahrul Ifwat bin Ishak

“Tsunami kebangkitan rakyat”-Harakahdaily
“Kekalahan teruk parti kerajaan sejak 1969”-Laporan Al-Jazeera.
“5 menteri dan 10 timbalan menteri tewas” -Utusan Malaysia.
“Pembangkang berjaya membentuk kerajaan campuran di 5 negeri”-Malaysiakini.

Pilihanraya kali ini benar-benar telah mengejutkan semua pihak. Dari ahli politik, penganalisis, ahli akademik, media, mahasiswa hinggalah rakyat awam. Tidak pernah wujud landskap politik seumpama ini di Malaysia samada pada era reformasi 1999, tidak juga sewaktu perpecahan Umno menjelang 1990 dan juga krisis perkauman era 1969. Para penganalisis politik tanah air di beberapa rangkaian TV tempatan yang telah memberikan ulasan selari kepada keputusan PRU 12 seolah-olah tercari-cari apakah sebab utama kekalahan teruk BN dalam pilihan raya umum kali ini. Sembang-sembang pilihan raya kali ini juga tidak terhad kepada keputusan bahkan semakin menarik dengan apa yang akan berlaku selepas ini, bagaimana kedudukan PM dan bagaimana nasib kerajaan campuran dibeberapa negeri dan landskap politik negara.

Anwar dan Mahathir.
Setiap kali pilihanraya, agak sukar pihak pembangkang meyakinkan rakyat dengan manifesto mereka. Barisan Nasional selalu mendapat laluan mudah dan dilihat sebagai gabungan parti komponen yang kuat berbanding pakatan pembangkang. Namun kali ini pembangkang mendapat bonus dengan penglibatan Anwar dan Mahathir secara tidak langsung. Ini diakui oleh pemimpin BN sendiri. Mahadhir yang telah meletak jawatan sering kali melemparkan kritikan terhadap tindakan Pak Lah yang dilihat sebagai tidak bijak dan lembab. Manakala Anwar pula dengan penuh yakin menabur janji-janji kesenangan kepada rakyat jika diberi peluang kepada Barisan Alternatif. Jika janji itu dari mulut pemimpin pembangkang yang lain tentunya dilihat sebelah mata oleh rakyat jelata dan akan diberi kenyataan sinis oleh pihak kerajaan, namun apabila Anwar yang mempunyai pengalaman sebagai Menteri Kewangan dan bekas Timbalan Perdana Menteri mendedahkan sumber kekayaan negara telah dapat meyakinkan rakyat dan menjadikan kerajaan tidak senang duduk. Mahathir pula dilihat oleh rakyat sebagai pemimpin yang tegas dan berani dalam mebuat keputusan berbanding kepimpinan Pak Lah.

Tuntutan Minoriti.
Akhirnya persempadanan semula kawasan pilihanraya pada tahun 2003 yang mana berlaku pertambahan kerusi bukan melayu membawa padah kepada BN. Jika pada tahun 1999, BN diselamatkan dengan undi masyarakat bukan melayu, kini fenomena itu sudah berubah. Parti komponen BN yang mewakili kaum Cina dan India dilihat sudah tidak popular lagi dikalangan kedua-dua kaum itu. Era pemerintahan Pak Lah menyaksikan banyak isu-isu yang berbentuk sentimen perkauman dan keagamaan yang tidak ditangani dengan serius. Bermula dengan pertikaian undang-undang syariah oleh 9 menteri bukan melayu ( Islam ), kes Lina Joy, dan yang terbaru Hindraf. Isu-isu yang berbaur sentimen perkauman ini akhirnya merebak dan dizahirkan oleh mereka ketika pilihanraya. Tidak hairanlah DAP mendapat saham yang besar daripada isu ini lantaran kelantangan mereka yang dilihat sebagai hero dalam membela kaum bukan peribumi di negara ini.

Manifesto Negara Kebajikan.
Untuk pilihanraya kali ini PAS dan BA tampil dengan menifesto ‘Negara Berkebajikan’ jika diberi mandat. Parti ini seolah-olah mendapat nafas baru dengan kebangkitan parti-parti Islam di luar negara yang lebih menonjolkan aspek-aspek kebajikan rakyat berbanding berkeras mengadakan undang-undang syariah. Imej sebegini menjadikan PAS lebih didekati rakyat terutamanya masyarakat bukan Islam. Bagi PKR pula jatuhnya Selangor ditangan mereka bagaikan durian runtuh. Pastinya negeri yang terkaya itu akan dibuktikan oleh mereka bahawa manifesto kali ini bukanlah omong-omong kosong. Namun seperti menurunkan harga petrol dan menghapuskan tol bukanlah sesuatu yang mampu dilakukan kerana semua itu dibawah kekuasaan kerajaan pusat.

Masalah dalaman
Namun seperti laporan Buletin Utama pada 9 Mac lalu, ramai penganalisis politik meletakkan kekalahan parti pemerintah kali ini adalah disebabkan faktor mereka sendiri. Kenaikan harga petrol, kenaikan harga barang, inflasi, angka jenayah dan rasuah. Ditambah juga dengan calon-calon parti kerajaan tidak popular dikalangan penyokong mereka sendiri. Jentera BN juga dilihat begitu lembab dan terpaksa bergantung kepada media massa berbanding pembangkang yang lebih agresif dengan menguasai kempen-kempen siber. Untuk piliharaya kali ini, sumber maklumat terkini tidak lagi terhad dengan tv dan surat khabar, bahkan website, blog dan web tv lebih meluas dikalangan masyarakat. Takala manifesto Negara Berkebajikan tersebar dengan pantas, BN seolah-olah ketiadaan idea untuk bersaing dengan manisfesto tersebut.

Umumnya melihat satu perubahan besar dalam keputusan pilihanraya negara dan pastinya akan merubah landskap politik negara.

Nasib Melayu dan bukan Melayu.
Dengan menawan Pulau Pinang dan mendapat kerusi sebanyak 28 di Parlimen pastinya akan menjadikan DAP semakin agresif. Parti ini bukan setakat berpengaruh dikalangan kelompok kaum minoriti bahkan turut menjadi pembela kepada pejuang-pejuang hak asasi kemanusiaan dan kebebasan agama. Bagaimanakah nasib Melayu di Pulau Pinang nanti? Walaupun janji mereka untuk membela semua rakyat tanpa mengira kaum namun ia masih diragui oleh masyarakat Islam dan Melayu di negara ini. Ataupun mungkin isu ketuanan Melayu bukanlah satu isu yang relevan untuk dihangatkan berbanding era 1969 dahulu? Kemudian tidak dilupakan juga kabinet yang akan dibentuk oleh kerajaan nanti dengan wakil-wakil kaum bukan melayu yang tidak popular dari kalangan parti kerajaan, adakah sanggup bagi kerajaan untuk melantik sebahagian menterinya daripada kalangan pembangkang terutamanya DAP? Agak mustahil itu berlaku di negara ini yang sangat ta’sub kepartian.

Kerajaan Campuran.
Kini terdapat 3 buah negari yang bakal membentuk kerajaan campuran. Dari sudut demokrasinya, kerajaan campuran lebih telus dan pembangkang tidak akan dilihat bersendirian dalam dewan. Namun jika dilihat dari sudut kestabilan dalam negara yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum, mampukah kerajaan campuran ini bertahan? Jika sebelum ini pakatan pembangkang sering goyah antara DAP dan PAS, kini selepas menang apakah yang menjamin keutuhan kerajaan campuran ini. Hanya kematangan pemimpin dan rakyat sahaja mampu untuk menstabilkan kerajaan ini. Namun tentunya cabaran lebih besar dengan sentimen perkauman dan bakal diburukkan lagi oleh media massa yang sememangnya terkenal bukan setakat dalam negara bahkan di luar negara sebagi media yang sangat anti dengan parti pembangkang walaupun parti tersebut sudah bergelar kerajaan.

Isu yang sudah lapuk.
Walaupun tidak memenangi majoriti 2/3 kerusi parlimen, BN masih lagi dapat membentuk kerajaan dengan majoriti mudah. Pilihan raya kali ini seharusnya menjadi pengajaran yang berguna terhadap mereka. Jika sebelum ini kempen mereka hanyalah ‘BN sahaja yang mampu membawa pembangunan’ dan ‘BN sahaja yang mampu mengawal kestabilan dan perpaduan negara’, maka slogan-slogan demikian sudah tidak laku lagi. Begitu juga dengan salah laku samada berbentuk penyelewengan kewangan mahupun moral kini sudah tidak boleh dipekakkan lagi oleh kerajaan. Ataupun mungkin pengajaran buat Perdana Menteri akan datang agar tidak bergurau dalam menentukan tarikh pilihanraya. Tidak lupa juga, pemilihan pucuk tertinggi Umno akan berlangsung pada September ini mungkin menjadi medan kepada para pemimpin Umno yang menang membelasah teruk pemimpin mereka yang kalah.


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Categories

%d bloggers like this: