Perlembagaan MPPM

BAB PERTAMA

PENGENALAN

Fasal 1 NAMA

Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia Jordan (MPPM)

Malaysian Student Representative Council Of Jordan

مجلس النيابة للطلبة الماليزيين بالأردن

(Selepas ini disebut MPPM atau Persatuan dalam perlembagaan ini)

Fasal 2 BAHASA RASMI

Bahasa Melayu

Fasal 3 MOTTO
Kepimpinan Bestari Kombinasi Kualiti

Fasal 4 LOGO

    1. ( Lihat Lampiran I – Logo MPPM)
    2. Tafsiran logo

4.2.1 – Warna biru, kuning, merah, dan putih

Warna-warna bendera Malaysia.

Biru- perpaduan dan persaudaraan

Kuning- kedaulatan dan ketatasusilaan

Merah- keberanian, kecekalan dan ketabahan dalam menghadapi ujian dan cabaran

Putih- kesucian dan kemurnian

4.2.2- Tahun 1421H dan 2000M

Tahun penubuhan MPPM

4.2.3- Bulan sabit dan bintang

Islam sebagai pedoman dan sumber perundangan

4.2.4- Khat di sekeliling logo

” “مجلس النيابة للطلبة الماليزيين بالأردن

Nama MPPM dalam Bahasa Arab

Fasal 5 SUMBER RUJUKAN

5.1 Al-Quran

5.2 As-Sunnah

5.3 Al-Ijma’

5.4 Al-Qias

Fasal 6 ALAMAT

No. 24, Mohd Baseem Khamash, Sweifieh

P.O. Box 143310, Amman, Jordan.

http://www.mppmjordan.com

Fasal 7 PENAUNG DAN PENASIHAT

7.1 Penaung : Kedutaan Besar Malaysia Jordan

7.2 Penasihat : Jabatan Penuntut Malaysia Jordan

BAB KEDUA

DASAR DAN OBJEKTIF

Fasal 8 DASAR

Memantapkan kesatuan pelajar Malaysia di Jordan melalui kerjasama berpersatuan demi kebajikan masyarakat pelajar

Fasal 9 OBJEKTIF

9.1 Berperanan sebagai badan induk, saluran suara dan wakil bagi semua pelajar Malaysia di Jordan di peringkat Jordan dan di peringkat antarabangsa

9.2 Menyelaraskan pengurusan Persatuan-persatuan Zon dan Badan-badan Kebajikan Anak Negeri di bawah satu pentadbiran

9.3 Menggalakkan perkongsian idea dan tenaga untuk mencapai kecemerlangan dalam akademik dan organisasi

BAB KETIGA

KEAHLIAN

Fasal 10 KEAHLIAN

10.1 Semua ahli rasmi/bersekutu/kehormat bagi persatuan zon dan badan kebajikan anak negeri yang berdaftar secara rasmi di bawah Jabatan Penuntut Malaysia Jordan.

10.2 Semua pelajar Malaysia yang menuntut di pusat-pusat pengajian Jordan.

Fasal 11 TANGGUNGJAWAB AHLI

11.1 Setiap ahli mestilah patuh kepada Perlembagaan MPPM dan berpegang teguh kepada dasar dan objektifnya

11.2 Menghormati serta mematuhi dasar dan peraturan MPPM

11.3 Tidak dibenarkan menganggotai dan melibatkan diri secara rasmi dengan pertubuhan politik di Jordan

11.4 Setiap ahli mestilah berusaha untuk melaksanakan dan mencapai objektif dan matlamat Persatuan

11.4 Menunjukkan imej yang positif dan tidak mencemarkan nama baik MPPM

Fasal 12 HAK KEAHLIAN

12.1 Semua ahli berhak menggunakan kemudahan-kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan oleh pihak MPPM dengan mematuhi peraturannya tanpa sebarang halangan kecuali telah ada sabitan yang dikeluarkan oleh Majlis Tertinggi MPPM bahawasanya ahli tersebut telah tidak dibenarkan untuk menggunakan peralatan yang ditetapkan atau apa-apa jua peralatan atas alasan yang difikirkan munasabah bergantung kepada budi bicara Majlis Tertinggi MPPM.

12.2 Semua ahli berhak mengikuti semua aktiviti MPPM tanpa sebarang halangan kecuali telah ada sabitan yang dikeluarkan oleh Majlis Tertinggi MPPM bahawasanya ahli tersebut telah tidak dibenarkan untuk menghadiri aktiviti yang ditetapkan atau apa-apa jua aktiviti atas alasan yang difikirkan munasabah bergantung kepada budibicara Majlis Tertinggi MPPM

12.3 Semua ahli berhak mengetahui perkembangan dan perubahan dalam struktur organisasi serta pergerakan MPPM.

12.4 Semua ahli berhak menyuarakan pandangan kepada MPPM atau kepada pihak ketiga melalui MPPM dengan menggunakan saluran-saluran yang beretika.

BAB KEEMPAT

STRUKTUR PENTADBIRAN

FASAL 13 PENTADBIRAN MPPM

Pentadbiran MPPM dikendalikan oleh Ahli Majlis Mesyuarat yang terdiri daripada Ahli Majlis Tertinggi dan Ahli Majlis Eksekutif.

13.1 Ahli-ahli Majlis Tertinggi:

i- Presiden -siswa

ii- Timbalan Presiden I -siswa

iii- Timbalan Presiden II -siswi

iv- Setiausaha Agung -siswa

v- Timbalan Setiausaha Agung -siswi

vi- Bendahari Agung -siswa

vii- Timbalan Bendaharai Agung -siswi

viii- Ketua Biro Pembangunan Minda dan Akademik -siswa

ix- Timbalan Ketua Biro Pembangunan Minda dan Akademik -siswi

x- Ketua Biro Kebudayaan, Kesenian dan Sukan -siswa

xi- Timbalan Ketua Biro Kebudayaan, Kesenian dan Sukan -siswi

xii- Ketua Biro Perhubungan dan Kemasyarakatan -siswa

xiii- Timbalan Ketua Biro Perhubungan dan Kemasyarakatan -siswi

13.2 (Lihat lampiran II – Heirarki pentadbiran )

13.3 Ahli Majlis Eksekutif

Semua Presiden/Yang DiPertua/Pengerusi (siswa) dan Timbalan/Naib Yang DiPertua/ Ketua Helwi (siswi) Persatuan Zon dan Badan Kebajikan Anak Negeri yang berdaftar di bawah Jabatan Penuntut Malaysia Jordan yang tidak menjawat jawatan Ahli Majlis Tertinggi MPPM.

FASAL 14 PERJAWATAN

14.1 Ahli Majlis Tertinggi

14.1.1 Pemilihan Ahli Majlis Tertinggi dilakukan melalui pilihanraya yang dilakukan setiap tahun pada penghujung sesi pentadbiran dan diumumkan dalam Mesyuarat Agung Tahunan.

14.1.2 Dipilih dari kalangan ahli MPPM yang memenuhi syarat-syarat berikut:

i- Tarikh pemilihan adalah sekurang-kurangnya satu (1) tahun dari tarikh ahli tersebut tiba di Jordan.

ii-Tidak menyandang sebarang jawatan dalam Majlis Eksekutif MPPM sewaktu pemilihan dibuat.

iii- Pernah menyandang jawatan Ahli Majlis Mesyuarat MPPM atau Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Zon atau Ahli Majlis Tertinggi Badan Kebajikan Anak Negeri.

iv- Masih berbaki sekurang-kurangnya satu (1) tahun pengajian di Jordan.

14.1.3 Tempoh perjawatan Ahli Majlis Tertinggi MPPM adalah dua belas bulan (12) daripada tarikh pemilihan rasmi sekalipun tempoh pentadbiran mereka dalam Persatuan Zon atau Badan Kebajikan Anak Negeri telah berakhir.

14.2 Ahli Majlis Eksekutif

14.2.1 Presiden/Yang DiPertua/Pengerusi (siswa) dan Timbalan Presiden/Naib Yang DiPertua/ Timbalan Pengerusi/Ketua Helwi (siswi) bagi persatuan zon dan badan kebajikan anak negeri yang berdaftar di bawah Jabatan Penuntut Malaysia Jordan adalah secara langsung menjadi Ahli Majlis Eksekutif MPPM.

14.2.2 Tempoh pentadbiran Ahli Majlis Eksekutif MPPM akan berakhir setelah tamat tempoh pentdbiran mereka dalam Persatuan Zon dan Badan kebajikan Anak Negeri masing-masing.

FASAL 15 PERLETAKAN JAWATAN DAN PERLUCUTAN JAWATAN

15.1 PERLETAKAN JAWATAN

15.1.1 Sebarang permohonan perletakan jawatan hendaklah dibuat secara bertulis kepada Presiden MPPM berserta alasan munasabah.

15..1.2 Pengesahan perletakan jawatan hanya akan berlaku setelah dibincang dan diputuskan dalam mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi MPPM.

15.2 PERLUCUTAN JAWATAN

Perlucutan jawatan hanya akan berlaku dengan sebab-sebab berikut:

      1. Terlucutnya jawatan dalam Persatuan Zon atau Badan kebajikan Anak Negeri masing-masing.
      2. Meninggalkan Jordan melebihi empat (4) bulan tanpa pemberitahuan bertulis kepada Presiden MPPM dengan alas an yang munasabah.
      3. Salah laku yang jelas bertentangan dengan dasar Islam.
      4. Meninggal dunia.

FASAL 16 KEKOSONGAN JAWATAN

16.1 Jika kekosongan jawatan berlaku dalam Ahli Majlis Tertinggi MPPM, pemilihan baru akan diputuskan melalui mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat MPPM dan tempoh perjawatannya adalah sehingga tamat sesi pentadbiran tersebut.

16.2.1 Jika kekosongan jawatan berlaku dalam Ahli Majlis Eksekutif MPPM, pemilihan baru akan dibuat berdasarkan budi bicara mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi MPPM.

BAB KELIMA

BIDANG TUGAS

FASAL 17 BIDANG TUGAS UMUM

17.1 Majlis Tertinggi

17.1.1 Fungsi Majlis Tertinggi ialah mengelola dan mengatur hala tuju dan gerak kerja, serta membuat keputusan atas perkara-perkara mengenai perjalanan MPPM mengikut dasar am yang telah ditetapkan. Majlis Tertinggi juga hendaklah mengemukakan laporan yang berkaitan dengan kegiatannya sepanjang sesi lalu dalam Mesyuarat Agung Tahunan.

17.1.2 Majlis Tertinggi hendaklah bermesyuarat sekiranya dirasakan perlu sekurang-kurangnya dua bulan sekali. Pengumuman bagi setiap mesyuarat hendaklah diberikan kepada semua yang terlibat dua hari sebelum mengadakan mesyuarat. Presiden secara individu atau tidak kurang daripada empat orang Ahli Majlis Tertinggi bersama-sama boleh memanggil supaya diadakan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi atau Ahli Majlis Mesyuarat pada bila-bila masa. Sekurang-kurangnya satu perdua(1/2) daripada bilangan Ahli Majlis Tertinggi atau Ahli Majlis Mesyuarat mengikut mana yang tersebut hendaklah hadir bagi mengesahkan perjalanan dan memenuhkan korum mesyuarat.

17.1.3 Sekiranya timbul perkara mustahak yang memerlukan kelulusan Ahli majlis Tertinggi tetapi Mesyuarat Majlis Tertinggi tidak dapat diadakan, maka Setiausaha Agung bolehlah mendapatkan kelulusan daripada Ahli Majlis Tertinggi secara pengedaran surat pekeliling. Syarat-syarat mengenainya seperti berikut mestilah disempurnakan sebelum keputusan Ahli Majlis Tertinggi boleh dianggap sebagai diterima :

  1. Masalah yang dibangkitkan itu mestilah dibutirkan dengan terang dalam surat pekeliling yang diedarkan kepada semua Ahli Majlis Tertinggi.
  2. Sekurang-kurangnya setengah daripada bilangan Ahli Majlis Tertinggi mestilah menyatakan persetujuan atau bantahan mereka terhadap cadangan itu.
  3. Keputusan mestilah dibuat berdasarkan undi majoriti.
  4. Sebarang keputusan yang didapati melalui surat pekeliling hendaklah dilaporkan oleh Setiausaha Agung kepada Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi berikutnya untuk disahkan dan dicatatkan dalam peringatan mesyuarat.

17.1.4 Majlis Tertinggi boleh memberi arahan kepada Setiausaha Agung dan Ahli Majlis Eksekutif atau ahli yang lain untuk menjalankan urusan MPPM dan melantik Pengarah dan kakitangan yang dirasakan mustahak. Majlis Tertinggi juga boleh menggantungkan dan melucutkan jawatan sebarang Pengarah dan kakitangan kerana tidak amanah dalam tugas atau denagn sebab-sebab yang difikirkan boleh merosakkan kepentingan MPPM.

17.1.5 Majlis Tertinggi boleh menubuhkan Jawatankuasa Khas sekiranya difikirkan mustahak dan memberikan kewajipan khas kepada Jawatankuasa Khas.

17.1.6 Berkuasa membatalkan sesuatu aktiviti yang bercanggah dengan dasar dan perlembagaan MPPM.

17.1.7 Berkuasa membatalkan sesuatu keputusan mesyuarat yang diadakan oleh majlis mesyuarat MPPM jika dirasakan perlu.

17.1.8 Majlis Tertinggi boleh memberikan tafsirannya kepada perlembagaan ini dan memutuskan perkara-perkara yang tidak terkandung di dalam perlembagaan ini.

17.2 Majlis Mesyuarat

17.2.1 Mengeluarkan arahan atau kenyataan umum bagi pihak MPPM.

17.2.2 Berhak melantik pengerusi sidang bagi Majlis Mesyuarat Agung Tahunan atau Mesyuarat Agung Khas.

17.2.3 Menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Raya.

17.2.4 Membincangkan dan merancang perjalanan MPPM berdasarkan peruntukan dalam perlembagaan serta bersesuaian dengan dasar MPPM.

17.2.5 Mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat hendaklah dilakukan sekurang-kurangnya tiga kali setahun.

17.2.6 Hendaklah dihadiri sekurang-kurangnya satu perdua (1/2) daripada Ahli majlis Mesyuarat.

FASAL 18 BIDANG TUGAS KHUSUS

18.1 Ahli Majlis Tertinggi

18.1.1 Presiden

  1. Memimpin MPPM dan bertanggungjawab atas kemajuannya.
  2. Mempengerusikan mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat dan Ahli Majlis Tertinggi serta bertanggungjawab atas keputusannya.
  3. Mewakili MPPM dalam hubungan dalaman dan antarabangsa.
  4. Memberikan arahan untuk mengadakan mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat dan Ahli Majlis Tertinggi MPPM.
  5. Mengeluarkan kenyataan umum kepada ahli dan pihak tertentu.
  6. Berhak menggunakan budi bicara dan kebijaksanaan dalam memutuskan sebarang masalah yang memerlukan tindakan segera.

18.1.2 Timbalan Presiden I

  1. Memangku jawatan Presiden ketika ketiadaannya dan apabila keadaan memerlukan.
  2. Membantu dan bekerjasama dengan Presiden MPPM dalam menjalankan tugasnya.
  3. Menjalankan tugas-tugas yang diserahkan oleh Presiden, Ahli Majlis Tertinggi atau Ahli Majlis Mesyuarat.

18.1.3 Timbalan Presiden II

  1. Bertanggungjawab memimpin dan menguruskan hal ehwal siswi.
  2. Membantu Presiden MPPM dalam melaksanakan tugas terutama yang berkaitan dengan siswi.
  3. Berhak membuat keputusan mesyuarat bahagian siswi dengan pengetahuan Presiden MPPM.
  4. Menjalankan tugas-tugas yang diserahkan oleh Presiden, Ahli Majlis Tertinggi atau Ahli Majlis Mesyuarat.

18.1.4 Setiausaha Agung

  1. Mengendalikan segala urusan kesetiausahaan MPPM.
  2. Menyimpan segala dokumen MPPM kecuali akaun dan buku-buku kewangan MPPM.
  3. Menyempurnakan jemputan mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat dan mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi MPPM dengan arahan Presiden.
  4. Menjalankan tugas-tugas yang diserahkan oleh Presiden, Ahli Majlis Tertinggi atau Ahli Majlis Mesyuarat.

18.1.5 Timbalan Setiausaha Agung

  1. Memangku jawatan Timbalan Presiden II MPPM semasa ketiadaannya.
  2. Bekerjasama dan membantu Setiausaha MPPM dalam tugas-tugasnya.
  3. Menyempurnakan urusan surat-menyurat bahagian siswi dengan arahan Timbalan Presiden 2 dengan pengetahuan Presiden MPPM.
  4. Menjalankan tugas-tugas yang diserahkan oleh Presiden, Ahli Majlis Tertinggi atau Ahli Majlis Mesyuarat.

18.1.6 Bendahari

  1. Bertanggungjawab atas segala urusan kewangan MPPM.
  2. Menandatangani dokumen pengeluaran wang bersama Presiden MPPM.
  3. Menyimpan segala dokumen yang berkaitan dengan kewangan MPPM.
  4. Bertanggungjawab menjaga segala aset MPPM.
  5. Menjalankan tugas-tugas yang diserahkan oleh Presiden, Ahli Majlis Tertinggi atau Ahli Majlis Mesyuarat.

18.1.7 Timbalan Bendahari

  1. Merekod debit kredit kewangan bagi bahagian siswi.
  2. Bekerjasama dan membantu tugas Bendahari MPPM.
  3. Menjalankan tugas-tugas yang diserahkan oleh Presiden, Ahli Majlis Tertinggi atau Ahli Majlis Mesyuarat.

18.1.8 Ketua Biro Pembangunan Minda dan Akademik

i- Bertanggungjawab merancang, mengendalikan dan memantau program-program yang bertujuan untuk meningkatkan kefahaman ahli terhadap peranan dan tanggungjawab sebagai mahasiswa serta menjana pemikiran yang matang dan kritis di kalangan ahli.

ii- Merancang, mengendalikan dan memantau program-program yang bertujuan meningkatkan prestasi akademik ahli.

iii- Mengetuai Biro Pembangunan Minda dan Akademik dan melantik jawatankuasa kecil.

iv- Menyediakan laporan tahunan Biro Pembangunan Minda dan Akademik.

      1. Ketua Biro Kebudayaan, Kesenian dan Sukan

i- Bertanggungjawab merancang, mengendalikan dan memantau program-program yang bersangkutan dengan kebudayaan, kesenian dan sukan.

ii- Mengetuai Biro Kebudayaan, Kesenian dan Sukan dan melantik jawatankuasa kecil.

iii- Menyediakan laporan tahunan Biro Kebudayaan, Kesenian dan Sukan.

      1. Ketua Biro Perhubungan dan Kemasyarakatan

i- Bertanggungjawab menguruskan perkara yang bersangkutan dengan hubungan MPPM dengan organisasi luar MPPM.

ii- Bertanggungjawab merancang, mengendalikan dan memantau program-program yang bertujuan menjalinkan hubungan antara MPPM dengan pertubuhan-pertubuhan, badan-badan dan organisasi serta masyarakat tempatan di Jordan.

iii- Mengetuai Biro Perhubungan dan Kemasyarakatan dan melantik jawatankuasa kecil.

iv- Menyediakan laporan tahunan Biro Perhubungan dan Kemasyarakatan.

      1. Timbalan Ketua Biro-biro

i- Membantu dan bekerjasama dengan Ketua Biro masing-masing.

ii- Memangku tugas Ketua Biro semasa ketiadaannya.

18.2 Ahli Majlis Eksekutif

18.2.1 Menjadi wakil bagi ahli Persatuan Zon atau Badan Kebajikan Anak Negeri yang diketuai dalam sebarang isu untuk dibincangkan di peringkat Ahli Majlis Mesyuarat MPPM.

18.2.2 Menjalankan segala tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh Presiden, Ahli Majlis Tertinggi dan Ahli Majlis Mesyuarat dengan sebaik mungkin.

18.2.3 Menghantar Laporan aktiviti bagi setiap Persatuan Zon atau Badan Kebajikan Anak Negeri yang diketuai pada penghujung setiap semester kepada Setiausaha Agung.

BAB KEENAM

MESYUARAT AGUNG

FASAL 21 : MESYUARAT AGUNG TAHUNAN

21.1 Diadakan selepas Mesyuarat Agung Tahunan semua Persatuan Zon dan Badan Kebajikan Anak Negeri.

21.2 Dihadiri oleh Ahli Mesyuarat Agung Tahunan yang terdiri daripada:

i- Ahli Majlis Mesyuarat MPPM

ii- Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Zon dan Badan Kebajikan Anak Negeri

iii- Mantan Yang DiPertua/Presiden/Pengerusi (siswa) dan Naib YangDiPertua/Timbalan Presiden/Timbalan Pengerusi/Ketua Helwi (siswi)

21.3 Sekurang-kurangnya satu perdua (1/2) daripada jumlah ahli seperti yang disebutkan dalam Fasal 21 ceraian 2 hendaklah hadir di dalam Mesyuarat Agung Tahunan bagi mengesahkan perjalanan mesyuarat dan mencukupkan korum untuk mesyuarat.

21.4 Jika korum tidak mencukupi setelah satu jam daripada waktu yang ditetapkan untuk mesyuarat, maka berkuasalah ahli-ahli yang hadir menjalankan mesyuarat tetapi tidaklah berkuasa meminda undang-undang dan membuat keputusan yang melibatkan semua ahli.

21.5 Mesyuarat Agung Tahunan ini hendaklah diadakan secepat mungkin setelah berakhirnya tahun kewangan pada tarikh, masa dan tempat yang ditetapkan oleh Ahli Majlis Mesyuarat. Kerja-kerja Mesyuarat Agung Tahunan ialah:

  1. Menerima laporan Majlis Mesyuarat berkenaan perjalanan MPPM bagi sesi lalu.
  2. Menerima laporan Bendahari dan penyata kewangan yang telah diaudit bagi sesi lalu.
  3. Mengumumkan Ahli Majlis Tertinggi yang telah dipilih dalam pilihanraya Persatuan.

iv. Mengumumkan ahli-ahli Majlis Tertinggi yang baru yang dipilih melalui pilihanraya.

v. Memilih dua (2) orang Juruaudit setiap satu (1) tahun sekali.

vi. Menguruskan perkara-perkara lain yang dibentangkan dalam mesyuarat itu.

21.6 Setiausaha hendaklah menghantar satu agenda mesyuarat termasuk peringatan mesyuarat dan laporan serta penyata kira-kira MPPM bagi sesi lalu yang telah diaudit kepada setiap ahli sekurang-kurangnya 3 hari sebelum Mesyuarat Agung Tahunan diadakan.

21.7 Setiausaha Agung dan Timbalan Tetiausaha Agung bertindak sebagai Setiausaha Sidang I dan II bagi mencatat perjalanan Mesyuarat Agung termasuk sebarang pindaan, pengiraan dan penjumlahan undi sekiranya berlaku pengundian, sebarang cadangan dan bangkangan serta resolusi yang diputuskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan.

21.8 Sekiranya berlaku persamaan undi bagi perkara-perkara yang memerlukan pengundian di dalam Mesyuarat Agung, Presiden MPPM berhak memberikan undi pemutus.

FASAL 22 : MESYUARAT AGUNG KHAS

22.1 Mesyuarat Agung Khas ini boleh diadakan :

  1. Apabila difikirkan mustahak oleh Ahli Majlis Tertinggi atau Ahli Majlis Mesyuarat

dan/atau

  1. Atas permintaan ramai secara bertulis oleh tidak kurang daripada satu perlima (1/5) daripada jumlah ahli MPPM dengan menerangkan tujuan dan sebab perlunya diadakan. Permintaan ini hendaklah dihantar kepada Setiausaha Agung.

22.2 Dihadiri oleh Ahli Majlis Mesyuarat dan pihak-pihak yang difikirkan perlu oleh Ahli Majlis Tertinggi mengikut tujuan mesyuarat tersebut diadakan.

22.3 Pengumuman dan agenda untuk Mesyuarat Agung Khas itu hendaklah diedarkan oleh Setiausaha Agung kepada semua ahli sekurang-kurangnya tujuh (7) hari sebelum tarikh mesyuarat itu diadakan.

22.4 Fasal 21.3 dan 21.4 dalam undang-undang ini berkenaan korum dan penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan terpakai untuk Mesyuarat Agung Khas. Walaubagaimanapun, jika korum tidak mencukupi selepas dua jam daripada waktu yang telah ditetapkan bagi Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli, maka mesyuarat tersebut hendaklah dibatalkan.

22.5 Setiausaha Agung hendaklah menghantar satu salinan draf peringatan Mesyuarat Agung Tahunan dan Mesyuarat Agung Khas kepada semua ahli dengan seberapa segera yang boleh setelah selesainya mesyuarat tersebut.

BAB KETUJUH

KEWANGAN

FASAL 23 : KEWANGAN

23.1 Sumber-sumber kewangan adalah daripada hasil-hasil projek ekonomi yang dijalankan serta sumbangan daripada mana-mana individu dan badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan yang sah.

23.2 Pengeluaran wang

23.2.1 Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan berikut dalam undang-undang ini, wang Persatuan hanya boleh digunakan untuk perkara-perkara yang berfaedah bagi menjalankan segala tujuan MPPM.

23.2.2 Presiden bersama Bendahari Agung berkuasa meluluskan perbelanjaan yang tidak melebihi JD 250 (Jordan Dinar Dua Ratus Lima Puluh) dalam tempoh dua (2) bulan. Perbelanjaan yang melebihi JD 250 (Jordan Dinar Dua Ratus Lima Puluh) bagi sesuatu masa adalah tidak dibenarkan selagi tidak mendapat kelulusan daripada Ahli Majlis Tertinggi terlebih dahulu.

FASAL 24 : TAHUN KEWANGAN

Tahun kewangan dikira selepas perlantikan Ahli Majlis Tertinggi MPPM yang baru dan berakhir selewat-lewatnya 3 hari sebelum Mesyuarat Agung Tahunan.

FASAL 25 : JURUAUDIT

25.1 Dua orang daripada Ahli Majlis Mesyuarat Agung Tahunan MPPM boleh dilantik di dalam Mesyuarat Agung Tahunan sebagai Juruaudit. Para Juruaudit akan memegang jawatan tersebut selama setahun dan boleh dilantik semula.

25.2 Juruaudit adalah dikehendaki memeriksa kira-kira Persatuan bagi setahun dan membuat laporan atau pengesahan untuk Mesyuarat Agung Tahunan. Mereka juga dikehendaki pada bila-bila masa oleh Presiden mengaudit kira-kira Persatuan bagi mana-mana masa dalam tempoh perkhidmatan mereka dan membuat laporan kepada Ahli Majlis Tertinggi

BAB 8 PILIHANRAYA PERSATUAN

FASAL 26 : TARIKH PILIHANRAYA

Pilihanraya MPPM hendaklah diadakan sebelum atau pada hari Mesyuarat Agung Tahunan.

FASAL 27 : BENTUK PILIHANRAYA

Pilihanraya adalah berbentuk undi sulit dan terbuka kepada semua Ahli Mesyuarat Agung Tahunan seperti yang tersebut dalam fasal 21.2

FASAL 28 : JAWATANKUASA PILIHANRAYA

28.1 : Jawatankuasa Pilihanraya MPPM adalah sebuah badan bebas berkecuali yang ditubuhkan dalam Mesyuarat Ahli Majlis Mesyuarat MPPM.

28.2 : Semua ahli MPPM boleh dilantik menganggotai Jawatankuasa Pilihanraya ini kecuali Ahli Majlis Mesyuarat MPPM selewat-lewatnya dua puluh hari sebelum Mesyuarat Agung Tahunan diadakan.

28.3 : Jawatankuasa Pilihanraya tersebut adalah terdiri daripada :

i. Pengarah Pilihanraya

ii. Setiausaha Pilihanraya

iii. Bendahari Pilihanraya

iv. AJK Pilihanraya

28.4 : Tempoh AJK Jawatankuasa Pilihanraya berakhir dengan terbentuknya ahli Majlis Tertinggi MPPM yang baru.

28.5 : Berhak mengundi tetapi tidak berhak diundi dalam pilihanraya.

28.6 : Ahli Jawatankuasa Pilihanraya tidak dibenarkan berkempen bagi mana-mana calon yang bertanding dalam pilihanraya.

28.7 : Sebarang keputusan berkaitan dengan pilihanraya MPPM yang telah dipersetujui dalam mesyuarat Jawatankuasa Pilihanraya adalah muktamad dan sebarang campur tangan daripada sebarang pihak adalah tidak dilayan dan berhak ditolak.

FASAL 29 : TUGAS AM JAWATANKUASA PILIHANMYA

29.1 : Melaksanakan urusan pilihanraya termasuk menyemak daftar-daftar pemilih untuk pilihanraya.

29.2 : Menyelenggarakan urusan pencalonan seperti penyediaan borang pencalonan dan memastikan prosedur pencalonan berjalan dengan betul.

29. 3 : Mengira undi setelah pengundian dijalankan.

29.4 : Menjaga segala amanah yang diserahkan berhubung dengan pilihanraya.

29.5 : Menyediakan peraturan khas pilihanraya dan syarat-syarat berkenaan calon-calon pilihanraya.

FASAL 30 : TUGAS PENGARAH JAWATANKUASA PILIHANRAYA

30.1 : Mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pilihanraya dan memastikan perjalanan Jawatankuasa mematuhi peruntukan perlembagaan.

30.2 : Mengesahkan senarai calon serta membatalkan pencalonan bagi mana-mana calon yang campur tangan dalam urusan Jawatankuasa Pilihanraya.

30.3 : Mengesahkan kertas keputusan pilihanraya bersama Setiausaha Jawatankuasa.

30.4 : Mengisytiharkan keputusan pilihanraya.

FASAL 31 : TUGAS SETIAUSAHA JAWATANKUASA PILIHANRAYA

31.1 : Mengedarkan pekeliling mesyuarat jawatankuasa dan menjalankan tugas yang selayaknya sebagai setiausaha di dalam Jawatankuasa.

31.2 : Melaksanakan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Pilihanraya.

31.3 : Mengesahkan kertas keputusan pilihanraya bersama-sama Pengarah Jawatankuasa.

FASAL 32 : TUGAS BENDAHARI JAWATANKUASA PILIHANRAYA

32.1 : Bertanggungjawab mengendalikan hal-ehwal kewangan yang berkaitan dengan Jawatakuasa Pilihanraya.

32.2 : Mencatat segala wang keluar masuk yang digunakan oleh Jawatankuasa Pilihanraya.

32.3 : Membantu Pengarah dan Setiausaha Jawatankuasa Pilihanraya dalam melaksanakan tugas-tugasnya.

FASAL 33 : TUGAS AJK KECIL JAWATANKUASA PILIHANRAYA

Membantu mengendalikan segala urusan-urusan yang berkaitan dengan pilihanraya.

BAB 9 PINDAAN PERLEMBAGAAN

FASAL 34 : CARA PINDAAN PERLEMBAGAAN

34.1 Mana-mana Ahli Mesyuarat Agung Tahunan boleh mengemukakan usul dan cadangan secara bertulis kepada Setiausaha Agung untuk dibentangkan dalam Mesyuarat Agung Tahunan bagi tujuan meminda Perlembagaan Persatuan.

34.2 Perlembagaan juga boleh dipinda dalam Mesyuarat Agung Khas yang dilakukan kerananya.

34.3 Sebarang pindaan yang berlaku dalam Mesyuarat Agung Tahunan atau Mesyuarat Agung Khas yang tersebut hendaklah dengan persetujuan dua pertiga (2/3) daripada ahli yang hadir dan berkuatkuasa serta-merta setelah diluluskan di dalam Mesyuarat Agung tersebut.

BAB 11 PEMBUBARAN

FASAL 35 : SEBAB-SEBAB PEMBUBARAN

35.1 MPPM akan dibubarkan sekiranya berlaku salah satu daripada situasi berikut:

  1. Tiada pelajar Malaysia yang berada di Jordan
  2. Tidak cukup korum untuk membentuk Ahli Majlis Tertinggi MPPM
  3. Sebab-sebab lain yang difikirkan munasabah

FASAL 36 : CARA-CARA PEMBUBARAN

36.1 MPPM boleh dibubarkan secara sukarela dengan persetujuan dua pertiga (2/3) daripada jumlah Ahli Majlis Mesyuarat Agung yang dipanggil khas kerananya.

36.2 Sekiranya MPPM hendak dibubarkan secara yang tersebut di atas, maka segala hutang dan tanggungan MPPM yang sah mengikut undang-undang hendaklah dijelaskan dan baki wang yang tinggal hendaklah diselesaikan mengikut cara yang dipersetujui dalam Mesyuarat Agung berkenaan.

36.3 Kenyataan bersabit dengan pembubaran itu hendaklah disampaikan kepada Jabatan Penuntut Malaysia Jordan dalam masa 14 hari dari tarikh pembubaran.

36.4 Pembubaran hendaklah dimaklumkan kepada Jabatan Penuntut Malaysia Jordan.

LAMPIRAN I (LOGO MPPM)

LAMPIRAN II (CARTA ORGANISASI MPPM)

PENAUNG

PENASIHAT

PRESIDEN

TIMBALAN PRESIDEN I

TIMBALAN PRESIDEN II

SETIAUSAHA AGUNG

TIMBALAN SETIAUSAHA AGUNG

BENDAHARI AGUNG

TIMBALAN BENDAHARI AGUNG

KETUA BIRO PEMBANGUNAN MINDA DAN AKADEMIK

TIMBALAN KETUA BIRO PEMBANGUNAN MINDA DAN AKADEMIK

KETUA BIRO KEBUDAYAAN, KESENIAN DAN SUKAN

TIMBALAN KETUA BIRO KEBUDAYAAN, KESENIAN DAN SUKAN

KETUA BIRO PERHUBUNGAN DAN KEMASYARAKATAN

TIMBALAN KETUA BIRO PERHUBUNGAN DAN KEMASYARAKATAN

AHLI-AHLI MAJLIS EKSEKUTIF

Responses

  1. askum…terimakasih pada pihak web ni yg melampirkan perlembagaan MPPM Jordan, cuma ada satu persolaan, fasal 19 dan 20 tidak ada dlm lampiran ini, atau mungkin angka bilang fasal yg silap, mohon penjelasan,…..

    sekian, jazakumullah a’la kullihal a’la musaa’datikum.

    wassalam…


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: